Saya menyeru pihak kerajaan khasnya Perbadanan Aset Air Berhad supaya merealisasikan pembinaan Loji Rawatan Air Kahang sejajar dengan pembinaan Empangan Kahang yang dijangka siap pada tahun hadapan bagi memastikan penduduk di sekitar daerah Kluang bebas daripada masalah catuan air.
Saya telah melawat ke pejabat SAJ di Kluang bersama-sama dengan Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor Sdr Sheikh Umar Ali untuk mengetahui keadaan semasa perihal pembekalan air semasa di daerah Kluang terutamanya persediaan dan rancangan yang bakal dijalankan untuk menghadapi keadaan di mana permintaan semasa musim perayaan akan meningkat secara mendadak.
Pihak SAJ Kluang telah memberitahu saya bahawa mereka akan menjalankan suatu operasi yang dinamakan Ops Raya untuk tempoh dua minggu bagi memastikan bekalan air di sekitar daerah Kluang tidak terganggu. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak SAJ kerana atas usaha mereka Kluang tidak menghadapi masalah catuan air semasa musim perayaan untuk dua tahun berturut-turut kebelakangan ini.
Kerajaan telah beberapa kali mengumumkan bahawa Empangan Kahang dijangkakan siap dibina pada tahun hadapan dan mula beroperasi pada tahun 2018. Ini sedikit sebanyak dapat menangani masalah kekurangan sumber air di sekitar daerah Kluang. Bagaimanapun, sesuatu empangan baru seperti Empangan Kahang ini tidak dapat mencapai fungsi optimum sekiranya tiada loji rawatan air yang dibina untuk merawat air tersebut. Oleh kerana proses pembinaan sesebuah loji ini memakan masa antar tiga hingga lima tahun maka saya menyeru kerajaan supaya mempercepatkan proses pembinaan loji rawatan air Kahang bagi memastikan warga Kluang bebas daripada dibelenggu masalah gangguan bekalan air dalam masa 30 hingga 50 tahun akan datang.