Skip to content

Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap keputusan kes hasutan saya

Peguam Negara telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen George Town terhadap kes hasutan yang melibatkan saya, di mana saya telah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Notis rayuan telah difailkan melalui Dato’ Razali bin Che Ani, Timbalan Pendakwa Raya Pulau Pinang sebelum ini, dan sesalinan notis telah disampaikan kepada saya. Kes ini didaftarkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan tarikh pendengaran belum ditetapkan lagi.

Saya akan terus membuat pembelaan melalui peguam-peguam saya, iaitu Gobind Singh, Ramkarpal Singh dan R.S.N. Rayer dan diharapkan keputusan yang dibuat oleh mahkamah sesyen sebelum ini dapat dikekalkan oleh mahkamah tinggi.

Sebuah artikel yang saya tulis dan disiarkan dalam akhbar Kwong Wah Yit Poh pada 11 Februari 2015 telah dilaporkan oleh Timbalan Ketua Pemuda MCA Negeri Pulau Pinang sebagai berunsurkan hasutan pada 16 Februari 2015.

Kemudiannya, saya telah dihadapkan ke mahkamah sesyen pada 6 November 2015 di bawah seksyen 4(1)(c) tetapi saya tidak mengaku salah. Selepas perbicaraan, saya telah dilepaskan dan dibebaskan oleh mahkamah sesyen pada 19 Mei 2015.

Jikalau disabitkan kesalahkan, hukuman maksimum adalah penjara 3 tahun, denda RM5,000 atau kedua-duanya. Penjara maksimum 5 tahun boleh dikenakan bagi kesalahan yang berulang.