Baru-baru ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan satu video dipercayai daripada militan IS yang merakamkan mesej untuk memerangi warga dan pihak berkuasa Malaysia. Mengikut ideologi mereka, ‘darah orang kafir halal ditumpahkan’ (boleh dibunuh). Malah tidak berhenti di situ, bagi mereka darah pihak Polis termasuk yang Muslim, dirujuk sebagai Bukit Aman, juga halal ditumpahkan.
Manhaj takfiri atau pemikiran mudah mengkafirkan sesama Muslim jelas berbahaya kerana boleh menjadi alat justifikasi kepada perlakuan keganasan. Selain bahaya pemikiran mengkafirkan yang Muslim, satu lagi pemikiran yang juga bahaya adalah mengharbikan yang kafir. Bermudah-mudah menggelar penganut agama lain sebagai kafir harbi, golongan kafir yang wajar diperangi.
Kedua-dua amalan ini boleh mencetuskan tindakan ganas kerana ramai yang percaya bahawa kafir harbi itu wajib diperangi dan halal untuk dibunuh.
Amat menyedihkan di saat Malaysia diancam dengan keganasan daripada puak-puak yang melencong ideologi agamanya. Kita mendengar pula laporan dari akhbar yang rapat dengan parti pemerintah, Utusan menyebut bahawa Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman melabelkan DAP sebagai kafir harbi serta menyeru agar DAP diperangi.
Gelaran harbi dan seruan memerangi tentu sekali menghantar isyarat kepada umum bahawa halal untuk bertindak ganas ke atas mana-mana ahli atau penyokong DAP.
Mufti Pahang mengecam parti DAP sebagai harbi dengan alasan DAP tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud dan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian Mahkamah Syariah. Ini jelas menunjukkan bahawa kecaman itu berat sebelah dan satu cubaan bermain politik.
Ini kerana terdapat parti-parti komponen Barisan Nasional, terutamanya di Sabah dan Sarawak, secara terbuka menyatakan mereka menolak pelaksanaan hukum hudud. Dan sehingga kini tidak ada sebarang tanda-tanda daripada parti-parti komponen Barisan Nasional yang menolak hukum hudud akan menyokong RUU Persendirian Mahkamah Syariah yang dibentangkan Mei lalu. Mengapa mereka tidak turut diserang sebagai golongan yang wajib diperangi? Kerana mereka masih bersama dengan Barisan Nasional?
Sebagai seorang Mufti, tidak molek juga apabila bermudah-mudah menuduh bahawa mereka yang tidak bersetuju dengan perlaksanaan hukum hudud dan RUU Persendirian Mahkamah Syariah itu sebagai menentang Islam. Lantas dari tuduhan yang dilemparkan itu terus dikeluarkan satu seruan memerangi mereka yang kononnya menentang Islam.
Terdapat pelbagai alasan dari sudut perlembagaan, perundangan dan sistem politik yang menjadi asas untuk tidak bersetuju dengan perlaksanaan hukum hudud dan RUU Persendirian Mahkamah Syariah. Bukannya kerana benci atau menentang Islam. Malah jika cukup cakna, pasti tahu di kalangan sarjana Islam serata dunia sendiri masih lagi memperdebatkan tentang kewajaran melaksanakan hukum hudud pada zaman ini.
Umat Islam tentunya berharap institusi mufti dapat mempelopori isu-isu golongan terpinggir seperti warga miskin dan tertindas dari sudut ekonomi, menegur salahguna kuasa dan korupsi, mengangkat wacana-wacana segar seputar maqasid syariah dan lain-lain. Bukannya rancak bermain politik partisan, serta tidak sepatutnya membuka pintu-pintu keganasan yang bakal mengancam penganut-penganut agama lain juga sebahagian umat Islam melalui kenyataan-kenyataan sebegini.