Selepas seminggu berkempen di Johor, maklum balas pengundi berkisar kepada 6 isu utama rakyat yang gagal ditangani oleh kerajaan BN/PN. Rakyat mahukan kestabilan harga lebih daripada kestabilan politik yang digembar-gemburkan oleh BN.
Pertama, inflasi dan kenaikan harga makanan, komoditi asas, bahan dan kos perniagaan yang hanya akan diburukkan lagi oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dengan harga minyak meningkat kepada lebih daripada USD115 setong. Bagi mengawal kenaikan harga, DAP telah mencadangkan Dana Penstabilan Harga dengan dana benih permulaan sebanyak RM3 bilion yang diperolehi daripada Cukai Makmur atau cukai durian runtuh yang diperkenalkan tahun ini. Malangnya, baik BN mahupun PN tidak memberi sebarang tindak balas terhadap solusi yang dicadangkan ini.
Kedua, pemansuhan cukai yang dikenakan tahun ini ke atas syarikat yang membawa balik wang daripada keuntungan yang diperoleh di Singapura dan negara luar. Hanya menunggu masa sebelum cukai yang sama dikenakan ke atas individu yang membawa balik gaji atau pendapatan mereka dari Singapura. Tidak mungkin satu negara mempunyai dua sistem berbeza, di mana cukai dikenakan kepada syarikat tetapi bukan individu. Pengundi bimbang pekerja Malaysia di Singapura akan dikenakan cukai selepas Pilihan Raya Umum ke-15 apabila membawa pulang pendapatan mereka ke Johor.
Ketiga, dengan kenaikan harga tetapi gaji tidak naik, ramai yang tidak dapat menampung kehidupan mereka. Kerajaan sepatutnya membenarkan orang ramai mengeluarkan caruman KWSP mereka jika tidak sebanyak RM10,000, mungkin sekurang-kurangnya RM5,000 untuk membolehkan mereka memenuhi obligasi kewangan mereka.
Keempat, menangguhkan kenaikan tarif elektrik sehingga 20% untuk 1.6 juta pengguna perniagaan dan industri mulai Februari untuk membantu perniagaan pulih daripada pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi.
Kelima, membuka semula sempadan serta-merta, terutamanya dengan Singapura, bagi membolehkan pemulihan segera ekonomi demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian apabila begitu banyak perniagaan di Johor bergantung kepada Singapura.
Keenam, menarik balik cadangan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang akan diluluskan di Parlimen selepas hari pengundian pada 12 Mac bagi menaikkan kompaun denda individu daripada RM1,000 kepada RM10,000 dan bagi syarikat kepada RM1 juta, dan apabila disabit kesalahan di mahkamah, penalti akan dinaikkan kepada RM100,000 denda untuk individu dan RM2 juta untuk syarikat. Kerajaan harus bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan mereka menguruskan pandemik COVID-19 dan tidak menyalahkan rakyat dengan menaikkan penalti dan denda kompaun.