Usaha Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, Setiausaha akhbar Perdana Menteri untuk membuka semula isu atau topik siapakah yang bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU ke14 adalah suatu usaha untuk memanjangkan usaha mengaburi mata rakyat Malaysia daripada isu yang jauh lebih penting berkenaan pasca PRU Ke14. Isu yang lebih penting yang sedang dielak dan tidak terjawab oleh Barisan Nasional (BN) yang memerintah kerajaan pusat kini adalah- siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri selepas PRU ke14 sekiranya BN memenanginya?
Malah, bukan sahaja mereka yang bergiat dalam perjuangan politik yang tertanya-tanya, seluruh rakyat Malaysia dan juga gerakan-gerakan NGO juga ingin mengetahui siapakah calon Perdana Menteri Malaysia BN. Adakah Dato Seri Najib akan terus memegang teraju cabang eksekutif negara atau beliau akan digantikan oleh calon calon lain? Mungkinkah timbalan beliau iaitu Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengantikan beliau pasca PRU Ke14? Atau, adakah Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang baru-baru ini dilantik sebagai Menteri Tugas-tugas Khas akan berkuasa menggantikan Dato Seri Najib melangkaui Dato Seri Ahmad Zahid?
Sekiranya rakyat dikatakan berhak mengetahui siapakah calon Perdana Menteri untuk PH supaya tidak membuat pilihan yang salah, maka tidakkah konsep atau pandangan yang sama harus dinilai mengenai calon Perdana Menteri BN? Adakah Malaysia akan terus dipimpin oleh Dato Seri Najib yang rekodnya selama ini jelas memudaratkan rakyat Malaysia? Adakah parti-parti komponen BN ditanya mahupun mempunyai hak bersuara dalam menentukan calon Perdana Menteri? Sekiranya ada, siapakah calon pilihan mereka? Sekiranya mereka masih memilih untuk mencalonkan Dato Seri Najib, apakah rasional mereka untuk menyokong seorang yang dikenali sebagai kleptokrat oleh masyarakat antarabangsa serta sebahagian besar rakyatnya sendiri?
Sekiranya ahli-ahli komponen BN tidak berhak bersuara, adakah sekurang-kurangnya, pemimpin-pemimpin dalam UMNO mempunyai hak untuk bersuara? Sekiranya pemimpin-pemimpin utama UMNO tidak berhak bersuara, maka bolehkah rakyat mempercayai pemimpin-pemimpin UMNO ini untuk terus berjuang demi rakyat? Sekiranya mereka boleh bersuara, apakah rasionalnya mereka memilih Dato Seri Najib yang dikaitkan dengan isu 1MDB yang sedang disiasat pelbagai negara atas dakwaan penyelewengan dana?
Maka, secara pendek, kita boleh singkatkan kepada dua persoalan penting yang perlu dijawab oleh kepimpinan BN, iaitu siapakah calon Perdana Menteri BN dan apakah rasionalnya.