Skip to content

Adakah Ismail Sabri begitu cepat ketandusan idea selepas 2 minggu menjadi Perdana Menteri sehingga dia perlu bergantung kepada bekas Perdana Menteri yang gagal?

Pelantikan Mahiaddin Md Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Nasional (MPN) dengan status Menteri untuk mengawasi pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah mengecewakan kerana menunjukkan bahawa Perdana Menteri baru Ismail Sabri tidak serius dan komited terhadap PPN. Pelantikan ini juga dilihat sebagai satu bentuk saguhati politik kepada Mahiaddin, setelah dipaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Dalam tempoh kurang daripada dua minggu, Ismail telah melantik Menteri dan Timbalan Menteri sebagaimana yang telah dilakukan oleh Mahiaddin dalam 17 bulan dengan jumlah 74 orang, tindakan yang membazirkan dana dan sumber awam yang sepatutnya digunakan dengan lebih baik untuk memberi jawatan tetap kepada doktor kontrak. Pelantikan Mahiaddin dengan status Menteri dibuat susulan pelantikan 3 Ahli Parlimen sebagai duta khas dengan status Menteri, walaupun tidak mempunyai sebarang pencapaian atau kelayakan sebelum ini. Sekiranya kegilaan adalah melakukan perkara yang sama berulang-ulang kali dan mengharapkan hasil yang berbeza, melantik orang yang gagal adalah lebih teruk apabila mereka tidak dapat menjalankan tugas dengan baik pada kali pertama.

Jelas bahawa PPN hanyalah sekadar perhiasan untuk menutup fakta bahawa keputusan sebenar dibuat di sebalik pintu tertutup oleh beberapa individu berkuasa yang tersembunyi daripada pandangan umum tanpa mempedulikan pertimbangan Jawatankuasa PPN. Dengan secara mudah menolak kebimbangan rakyat bahawa pelantikan seperti itu adalah satu bentuk permainan politik untuk memastikan sokongan bagi majoriti parlimennya, tanpa sebarang faedah untuk menyelesaikan pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi, tempoh bulan madu bagi Ismail sudah berakhir.

PPN sepatutnya menjadi halatuju untuk mengawal pandemik COVID-19 di samping secara progresif membuka kembali sektor sosial dan ekonomi ke arah normal baharu menjelang Disember 2021. Oleh kerana kepentingannya, PPN telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri dengan ahli jawatankuasa yang terdiri daripada semua sektor bagi menunjukkan usaha keseluruhan masyarakat untuk memenangi pertempuran melawan COVID-19 dan mengeluarkan ekonomi daripada kemelesetan.

Ahli jawatankuasa ini sepatutnya terdiri daripada pemimpin politik kerajaan dan pembangkang serta pakar bidang yang berkenaan bagi merancang Pelan Pemulihan Ekonomi dan Pelan Reset COVID-19 Nasional untuk beralih daripada pendekatan membendung atau menghapuskan COVID-19 kepada mitigasi dan hidup bersama COVID-19. Dengan melantik bekas Perdana Menteri untuk mempengerusikan PPN dan bukan dirinya sendiri, Ismail merendahkan kepentingan jawatankuasa tersebut dan menjadikannya sebuah jawatankuasa biasa sahaja.

Adakah Ismail Sabri begitu cepat ketandusan idea selepas 2 minggu menjadi Perdana Menteri sehingga dia perlu bergantung pada bekas Perdana Menteri sebelum ini yang gagal? Ismail menghadapi risiko menjadi seorang lagi Mahiaddin 2.0, Perdana Menteri terburuk dalam sejarah Malaysia yang telah salah urus pandemik COVID-19 sehingga menyebabkan rekod tertinggi 1,824,439 jangkitan dan 17,883 kematian pada 4 September serta krisis ekonomi terburuk dalam sejarah. Kabinet yang dikitar semula dan Perdana Menteri yang tidak berbeza semacam menukarkan makanan basi ke dalam bekas baru tidak akan membantu menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat.