Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa menetapkan harga siling ke atas ujian saringan Covid-19 yang dilaksanakan oleh semua klinik perubatan am swasta (GP) dan hospital swasta dengan kadar segera.
Tindakan kawalan harga pada klinik dan hospital swasta perlu diambil selaras dengan pengumuman Kerajaan menetapkan harga runcit maksimum bagi setiap set kit ujian kendiri Covid-19 pada harga RM19.90, manakala harga borong ditetapkan RM16 berkuat kuasa 5 September 2021. Ini kerana berlaku perbezaan harga yang ketara bagi caj ujian saringan yang dilaksanakan di klinik dan hospital swasta.
Berdasarkan pemantauan, caj keseluruhan termasuk caj perkhidmatan lain bagi ujian RTK-Antigen dalam harga RM60.00 dan ujian polymerase chain reaction (RT-PCR) diantara RM160.00 sehingga RM280.00 oleh klinik dan hospital swasta pada masa ini adalah terlalu tinggi dan telah mengkibatkan orang ramai khasnya golongan B40 enggan melakukan ujian saringan kerana faktor tidak berkemampuan. Caj tinggi yang dikenakan juga memberi tekanan besar kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk melaksanakan saringan berkala di tempat kerja ketika dalam keadaan ekonomi yang lembap.
Kerajaan patut bertindak cepat dan tegas dalam menetapkan serta mewartakan caj seragam tanpa caj perkhidmatan lain bagi ujian saringan RTK-Antigen dan RT-PCR Covid-19 di semua klinik perubatan am swasta dan hospital swasta di seluruh Malaysia sebagai langkah untuk mengukuhkan strategi saringan massa iaitu Cari, Uji, Kesan, Kuarantin dan Sokong berserta Vaksinasi (FTTIS+V ) yang disaran oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Penetapan caj harga siling pada klinik dan hospital swasta adalah penting dan dapat membantu kerajaan dalam meningkatkan kadar saringan Covid-19 untuk melawan pandemic Covid-19 ketika negara dilanda dengan rekod jangkitan dan kematian berjumlah 1,824,439 kes dan 17,883 kes kematian pada 4 September 2021.
Adalah kurang munasabah pemakaian perlindungan peribadi (PPE) dimasukkan dalam caj-caj perkhidmatan sedangkan kos keseluruh PPE dan kit ujian menurun mendadak dan skala ekonomi yang tercapai berikutan peningkatan kes Covid-19 dan jumlah ujian saringan di klinik dan hospital swasta.
Penentuan caj maksimum terhadap ujian saringan itu adalah mengikut kewajaran dan kepentingan orang awam. Jika kerajaan dapat menurunkan harga kit ujian saringan kendiri Covid-19 di pasaran dari RM39.90 ke RM19.90, maka penurunan harga ini tentu dapat dilaksanakan dan dikawal serta merta demi meningkatkan kadar saringan dan memastikan rakyat bebas daripada wabak Covid-19.
Kerajaan juga perlu memastikan semua klinik perubatan am swasta mengambil kewajipan dan tanggungjawab sebagai frontliner serta melibatkan diri dalam membekalkan perkhidmatan ujian saringan Covid-19. Ini dapat membantu negara dalam mengukuhkan sistem kesihatan negara dan merancakkan persediaan negara dan rakyat untuk hidup bersama Covid-19.