Sebagai asas pembentukan amalan demokrasi, mengundi merupakan tindakan asas penyertaan masyarakat umum khususnya belia dalam menentukan wakil kepimpinan mereka. Secara tidak langsung, undi adalah perlambangan yang dibuat oleh golongan belia agar suara dan hasrat mereka didengari. Malangnya, realiti yang terjadi hari ini seolah-olah menidakkan apa yang cuba mereka sampaikan. Lebih buruk lagi, apabila pandangan dari golongan ini dianggap sebagai tidak relevan dan sering diabaikan.
Apatah lagi bila melibatkan perihal politik, golongan belia amat jauh sama sekali untuk diangkat sebagai calon-calon wakil rakyat. Dalam arena politik ini, kebiasaannya stereotaip masyarakat hanya melihat bahawa arena politik hanya boleh dimainkan oleh mereka yang mempunyai pengalaman yang banyak dan besar majoriti mereka ini adalah golongan yang lelaki yang berusia. Begitu juga dengan kaum Wanita yang mereka telah dinafikan hak sebagai pemimpin. Golongan muda ini juga sering dipinggirkan atas faktor usia serta kekurangan pengalaman kononnya.
Sebagai sebuah negara yang sedang berdepan dengan pandemik Covid-19 yang tiada penghujungnya. Tidak boleh dinafikan bahawa kita memerlukan golongan muda untuk bersama menyertai untuk membina semula negara yang kian parah akibat wabak ini. Dengan idea dan pandangan baharu oleh golongan muda, pembuatan dasar-dasar yang lebih baik mampu untuk memberikan manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil langkah yang tepat untuk melaksanakan penggubalan pada Rang Undang-undang Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang bagi membolehkan belia Pulau Pinang yang berumur 18 tahun dicalonkan untuk bertanding bagi kerusi DUN di Pulau Pinang. Pelaksanaan ini selari dengan penurunan umur layak mengundi dari 21 ke 18 tahun sekaligus memberikan hak mereka melalui kertas undi. Tidak dinafikan, dengan lulusnya pindaan Perkara 47 dalam Perlembagaan Malaysia, langkah ini memberi pengiktirafkan kepentingan dan peranan belia untuk bersama dalam pembuatan dasar.
Walaupun potensi dalam bidang politik ini besar, namun masih ramai belia di Malaysia ini merasakan tersisih. Atas kecelaruan politik yang melanda negara sejak kebelakangan ini, situasi ini sebenarnya boleh mengundang kepada laluan yang berbahaya kepada generasi muda.
Aristotle dalam tafsirannya menyebut bahawa kerjaya dalam bidang politik merupakan sesuatu yang suci sekiranya berjaya memimpin masyarakat kepada kebaikan. Oleh itu, minda golongan muda yang menceburi bidang politik ini tidak seharusnya di timbun dengan aktiviti-aktiviti jahat yang dimainkan sesetengah pihak namun sepatutnya digilapkan dengan tanggungjawab yang sebenar dalam memimpin biarpun seseorang itu baru sahaja tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Saya amat yakin, dengan pendedahan isu-isu politik semasa, perihal berkaitan dasar mahupun perundangan mampu untuk mengasah daya pemikiran kritis mereka.
Politik adalah tingkah laku yang tidak boleh lari dari rakyat yang bertanggungjawab. Penyertaan dalam bidang politik serta penglibatan sivik adalah asas yang amat diperlukan dari golongan belia di negeri ini. Penglibatan mereka dilihat penting adalah kerana mereka ini merupakan kunci kejayaan masa depan negara. Mereka juga merupakan agen yang mampu menggerak perubahan dalam lapisan masyarakat secara amnya. Maka, itulah pentingnya golongan belia hari ini dicurahkan dengan maklumat-maklumat yang tepat dan sahih mengenai politik.