Ordinan Darurat baharu, yang membenarkan Putrajaya mengeluarkan wang daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan tanpa pengawasan dan pemeriksaan parlimen, adalah satu jenaka April’s Fool yang kejam terhadap demokrasi berparlimen dengan memberi kuasa mutlak kepada Perdana Menteri ke atas tabung kewangan negara. Dengan Parlimen masih digantung, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu membuka semula Parlimen untuk mendapatkan kelulusan Belanjawan Tambahan, untuk mengesahkan perbelanjaan tambahan yang melebihi Belanjawan 2021, namun, Perdana Menteri telah memilih untuk memintas Parlimen sepenuhnya.
Ini adalah satu lagi tindakan khianat PN terhadap Parlimen dan Perlembagaan Persekutuan. Puluhan bilion wang negara kini boleh ditentukan oleh seorang individu dan bukannya melalui sistem semak dan imbang demokrasi berparlimen. Parlimen adalah platform yang tepat untuk memeriksa penyalahgunaan kuasa, penyelewengan kewangan, dan penyalahgunaan dana awam untuk tujuan politik, sama seperti peruntukan RM85.5 juta untuk Jabatan Komunikasi Masyarakat (J-KOM) yang dipotong kepada RM40.5 juta setelah bantahan dari Ahli Parlimen.
Ini adalah kuasa yang sangat berbahaya yang diberikan kepada Perdana Menteri dengan memancung kuasa kewangan Parlimen. Kelulusan Parlimen bagi Belanjawan tambahan boleh ditangguhkan secara undang-undang sehingga akhir tahun ini. Ini bermaksud bahawa segala belanjawan tambahan untuk perbelanjaan tambahan yang dibuat masih dapat diluluskan oleh Parlimen ketika Darurat berakhir dan Parlimen dibuka semula selepas 1 Ogos 2021. Dengan memancung kuasa kewangan Parlimen, adakah Perdana Menteri memberi petunjuk bahawa Darurat dan penggantungan Parlimen akan dilanjutkan melebihi 1 Ogos 2021?
Pemberian kuasa kewangan mutlak kepada Perdana Menteri mungkin dapat digunakan untuk menjawab soalan-soalan yang memalukan. Sebagai contoh, mengapa hutang Kerajaan PN meningkat seperti yang ditunjukkan oleh angka Bank Negara bagi penerbitan hutang kasar kerajaan untuk Jan-Feb 2019, 2020 dan 2021 (tanpa penebusan) dengan kenaikan 60% sebanyak RM11.5 bilion bagi dua bulan pertama 2021 berbanding tahun 2020 (di bawah PH).
|
Tahun
|
Bulan
|
Hutang diterbitkan oleh Kerajaan (RM juta) |
|
2019 |
Jan-Feb |
17,000 |
|
2020 |
19,500 |
|
|
2021 |
31,000 |
Sekiranya pinjaman seperti ini benar-benar diperlukan untuk memerangi COVID-19 dan demi membantu rakyat mengatasi kemelesetan ekonomi, pihak pembangkang bukan sahaja akan menyokong bahkan akan meminta tambahan dan peningkatan perbelanjaan. Tanpa pengawasan parlimen, ada risiko tinggi bahwa setiap perbelanjaan baru yang dibuat oleh kerajaan ini tidak akan dipertanggungjawabkan dengan baik, terutama bagi memastikan bahawa ia memberi manfaat kepada rakyat dan bukannya kroni.