Skip to content

Adakah peraturan-peraturan tambahan yang dibuat oleh Majlis Perbandaran Manjung selain daripada yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara sah?

Semua warga di Malaysia hendaklah bekerja sama dengan pihak berkuasa untuk mengatasi pandemik Covid-19 yang kian meruncing. Walau bagaimana pun semua pihak berkuasa juga hendaklah bertindak secara berkesan, mengikut undang-undang dan tidak menimbulkan kekeliruan.

Saya telah menerima aduan bahawa Majlis Perbandaran Manjung ( MPM) telah membuat beberapa peraturan tambahan untuk mengawal Covid-19 dalam Daerah Manjung selain daripada yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara. Satu daripada peraturan yang menyebabkan rungutan ramai warga emas ialah mereka yang berumur 65 tahun ke atas tidak dibenarkan untuk keluar membeli barang makanan dan akan didenda sebanyak sekurang-kurang RM2,000.00 kepada mereka yang melanggar peraturan ini. Ia haruslah sekadar nasihat kepada warga tua kerana warga tua lebih kemungkinan jatuh sakit teruk akibat Covid-19 tetapi tidak harus dijadikan satu undang-undang. Persoalan telah timbul samada MPM mempunyai kuasa untuk membuat peraturan sedemikian?

MPM dimohon menjelaskan perkara-perkara berikut:

  1. Adakah MPM membuat peraturan-peraturan tambahan yang tersebar luas seperti disertakan.
  2. Syarat mereka yang berumur 65 tahun keatas tidak dibenarkan utk keluar membeli barang makanan menimbulkan masalah kpd keluarga yg tidak ada orang muda. Apakah tindakan yang di ambil oleh MPM untuk mengatasi masalah ini?
  3. Apakah punca kuasa MPM untuk membuat peraturan2 tambahan ini?
  4. Satahu saya, Kerajaan Negeri juga akur kepada keputusan MKN dan tidak boleh membuat keputusan sendiri. Adakah MKN menurunkan kuasa kepada MPM untuk membuat peraturan-peraturan tambahan ini.

  5. Adakah peraturan-peraturan tambahan ini diwartakan? Semua peraturan mesti diwartakan sebelum mereka mempunyai kuasa undang-undang. Semua pengumuman SOP yang diumumkan oleh Menteri Kanan, Menteri Pertahanan setiap hari diwartakan sebelum SOP ini menjadi undang-undang.

Saya memohon YDP MPM untuk menjelaskan persoalan-persoalan di atas.

Sesiapa yang menerima saman daripada MPM berkenaan dengan peraturan-peraturan tambahan ini boleh menghubungi saya atau pejabat saya untuk bantuan guaman secara pro bono (percuma).