Parti Amanah Negara (Amanah) telah melontarkan persoalan kepada Mufti Negeri Kelantan, Datuk Shukri Mohamed tentang status halal haram perhimpunan baju merah yang dijadual berlangsung hari ini di Kuala Lumpur.
Mufti itu sebelum ini dipetik lidah rasmi Umno, Utusan Malaysia sebagai berkata bahawa “Islam mengajar umatnya mentaati undang-undang dan pemerintah, bukan melakukan provokasi dan mewujudkan suasana tidak aman kepada masyarakat sebagai tanda proses,” dalam laporan muka depannya mengenai status haram perhimpunan Bersih 4.
Dalam semangat yang sama, saya sebagai orang yang kurang memahami Islam turut ingin bertanya kepada sahibus-samahah Datuk Mufti Kelantan tentang hukum membakar patung dengan gambar Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng seperti yang dilakukan oleh segerombolan pemuka Umno Kelantan tempoh hari.
Adakah perbuatan membakar patung sedemikian dilarang oleh Islam atau sebaliknya dibolehkan oleh syarak? Adakah sebarang dalil yang menghalal atau mengharamkan perbuatan biadab sedemikian?
Saya juga ingin menganjurkan supaya Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk mengumumkan ganjaran kepada orang ramai yang tampil memberi maklumat tentang insiden bakar patung pemimpin-pemimpin DAP tersebut, sepertimana beliau telah bergegas mengambil tindakan terhadap mereka yang didakwa memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika perhimpunan Bersih 4.
Sekiranya kedua-dua Datuk Mufti Kelantan dan Ketua Polis Negara enggan melakukan perkara-perkara di atas, rakyat pastinya akan menyangka bahawa kedua-dua Mufti dan Ketua Polis Negara mempunyai agenda peribadi kerana mereka hanya mensasarkan peserta-peserta perhimpunan aman Bersih 4.
Saya kira mereka berdua sebagai penjawat awam tanpa sebarang keterikatan politik dapat memastikan bahawa tindakan dan kenyataan dibuat secara adil dan saksama, tanpa mengira kepentingan politik mana-mana pihak.