Skip to content

Adakah skandal RM42 bilion 1MDB lebih penting dan bernilai daripada nyawa dua bekas komando Unit Tindakan Khas, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, yang didapati bersalah membunuh model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu?

Adakah skandal RM42 bilion 1MDB lebih penting dan bernilai daripada nyawa dua bekas komando Unit Tindakan Khas, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, yang didapati bersalah membunuh model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu?

Kenapa Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak bertindak bodoh pergi ke Australia untuk menyoal Sirul, sepertimana tindakannya pergi ke Thailand untuk bertemu bekas pegawai PetroSaudi Xavier Justo beberapa hari lalu?

Tindakan itu saya sifatkan bodoh kerana mana-mana pegawai kerajaan berpangkat tinggi pastinya sedar tentang fungsi saluran diplomatik yang ada, tetapi yang tidak digunakan oleh Khalid.

Ketua Polis Negara sepatutnya menangani kedua-dua kes (Altantuya dan PetroSaudi-1MDB) secara adil dan saksama memandangkan kedua-duanya mempunyai kepentingan antarabangsa melibatkan warganegara asing dan skandal melibatkan jutaan ringgit.

Namun Khalid secara “peribadi” telah terbang ke Bangkok tanpa diundang untuk mencuba nasib menyoalsiasat Justo berdasarkan laporan khabar angin, dan permintaannya itu ditolak dua kali.

Berbeza pula dengan kes Sirul Azhar Umar yang mendakwa bertindak membunuh Altantuya pada tahun 2006 kerana mengikut arahan pihak-pihak tertentu, Khalid dan kerajaan Malaysia langsung tidak berbuat apa-apa untuk pergi ke Perth bertemu Sirul.

Bukankah ini menunjukkan Khalid seorang yang berat sebelah; atau adakah ini menjadi isyarat bahawa beliau hanya bertindak mengikut arahan dari atas; dan bukan atas kepentingan undang-undang dan keadilan?

Sekiranya Putrajaya tidak mampu mengekstradisi warganegara sendiri termasuklah Raja Petra Kamaruddin, Ali Abdul Jalil, Alvin Tan dan Sirul Azhar Umar; bagaimana Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu mendapatkan editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown, warga England yang sedang menetap di negara asalnya?

Selepas misi gagal Khalid Abu Bakar di Bangkok, adakah ini satu lagi stunt bodoh di London oleh bosnya, Ahmad Zahid Hamidi?

Saya menggesa pihak berkuasa agar tidak mengalihkan perhatian mereka daripada pihak-pihak yang terlibat dalam skandal 1MDB kepada mereka yang mendedahkan skandal tersebut.

Tugas mereka sekarang ialah untuk menjamin dan memastikan bahawa Jho Low akan selamat pulang ke tanah air untuk disiasat oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC).