Skip to content

Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk terus mematuhi garis panduan serta prosedur operasi standard ditetapkan bagi memastikan rantaian perebakan jangkitan pandemik ini dapat diputuskan

Hari ini, Pulau Pinang mencatatkan 305 kes COVID-19. Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam pada itu telah berkongsi serta menyerahkan laporan analisis risiko terkini kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membolehkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menentukan fasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seterusnya membabitkan negeri ini.

Berikut merupakan antara intipati yang dikongsi JKNPP bersama-sama KKM:-

  1. Sehingga 6 Mei 2021, Pulau Pinang telah merekodkan 20,945 kes COVID-19;
  2. Survelan harian kembali menunjukkan trend meningkat mulai pertengahan minggu epid 17. Kadar kebolehjangkitan, R-naught (Rt) juga telah melebihi 1.00 iaitu 1.13 (1.08 – 1.18) pada 5 Mei 2021;
  3. Semua daerah adalah berstatus zon merah yang mana Daerah Timur Laut dengan bilangan kes aktif dalam tempoh 14 hari mencecah 722;
  4. Pulau Pinang juga mula melaporkan kluster melibatkan warga sekolah dan kluster berkaitan aktiviti sosial;
  5. Kes sporadik juga menunjukkan peningkatan ketara mulai 30 April 2021. Pecahan kategori kes untuk 6 Mei 2021 adalah seperti berikut: kluster sedia ada (28.9 peratus); kontak rapat (27.9 peratus); saringan bergejala (20.3 peratus); saringan kendiri (11.1 peratus) dan lain-lain saringan (11.8 peratus);
  6. Terdapat 14 kluster aktif sehingga hari ini yang mana lapan (8) adalah membabitkan sektor perkilangan; institusi pendidikan (2); aktiviti sosial (2); pusat tahanan (1) dan tapak bina (1).

Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk terus mematuhi garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi memastikan rantaian perebakan jangkitan pandemik ini dapat diputuskan. Jangan sesekali cuai dan ingatlah orang tersayang dan keluarga kita.