Skip to content

Adalah wajar bagi pihak SPR supaya menarik balik keputusan terbarunya dan terus membekalkan RDPT kepada parti-parti politik

Suatu sesi Pendengaran Siasatan Awam Bantahan RDPT Suku Tahun 4/2016 bagi bagi kawasan Gelang Patah telah dijalankan oleh Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor di Bilik Sri Mawar, Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) Skudai pada hari semalam dan hari ini.

Sebanyak 98 bantahan telah dibuat oleh pihak Pejabat Ahli Parlimen Gelang Patah antaranya sebanyak 88 diterima oleh pihak SPR dan nama-nama pemilih dikeluarkan daripada RDPT.

Keputusan pendengaran ini jelas menunjukkan bahawa terdapat pihak tertentu yang cuba menjalankan penyelewengan ke atas Daftar Pemilih untuk memanipulasi keputusan pilihanraya khasnya dalam suasana PRU14 akan berlangsung bila-bila masa sahaja.

Kes-kes sedemikian banyak kami jumpa akhir-akhir ini, khususnya di kawasan parlimen yang melibatkan kekalahan atau kemenangan tipis UMNO pada PRU-13 yang lepas. Malah, terdapat kes di mana orang kena bantah yang hadir di pendengaran mengatakan beliau sebenarnya mengetahui apa yang telah berlaku kerana beliau diarah oleh UMNO untuk menghadiri sesi pendengaran. Selain itu, pemimpin-pemimpin peringkat cawangan dan bahagian (Gelang Patah) diperhatikan berada di luar bilik pendengaran sekali lagi membuktikan bahawa UMNO-BN yang perlu bertanggungjawab ke atas penyelewengan isu pemilih tidak bermastautin di alamat berdaftar atau lebih dikenali sebagai isu “pemilih hantu”.

Di alamat No.10 Malinja 12 Lima Kedai telah didaftarkan seorang pemilih baru dan 11 orang pemilih. Pasukan DAP Gelang Patah telah melawat alamat tersebut pada Februari 2017 dan mendapati penghuni di alamat tersebut tidak mengenali nama pemilih-pemilih yang didaftarkan di rumah beliau. Tambahan pula, rumah tersebut adalah sebuah rumah teres kos murah (rujuk kepada gambar yang dilampirkan) yang jelas tidak mungkin memuatkan 11 orang pemilih.

Saya begitu yakin bahawa kes-kes yang didengari dan diputuskan pada hari sebenarnya hanya sebahagian kecil sahaja daripada keseluruhan masalah pemilih hantu. Semasa pameran RDPT kami telah mengesan sebanyak 163 kes yang diragui dan akhirnya kami terpaksa menarik balik sebahagian daripada bantahan yang dibuat kerana batasan dalam mengumpulkan bukti-bukti bertulis apabila tidak dapat memperolehi kerjasama daripada sebahagian tuan rumah terbabit yang mendakwa diri mereka sebagai “orang kuat UMNO”.

Pihak SPR telah memaklumkan kami dalam sesi pendengaran bahawa kita tidak boleh bergantung kepada pihak SPR semata-mata dalam mendapatkan bukti berkenaan isu pemilih hantu ini kerana mereka kesuntukan tenaga kerja untuk menjalankan siasatan.

Oleh yang demikian, adalah wajar usaha pembersihan Daftar Pemilih dijalankan dengan penglibatan seluruh rakyat khasnya parti-parti politik yang merupakan salah satu pihak berkepentingan dalam isu ini.

Bagaimana pun, pihak SPR telah bertindak sebaliknya dengan membuat keputusan supaya salinan RDPT tidak akan dibekalkan kepada parti-parti politik mulai RDPT ST1/2017. Keadaan ini menunjukkan bahawa SPR telah bertindak menentang arus yang mengundang kritikan dan menampaknya pihak SPR telah diperalatkan oleh parti pemerintah bagi memperkukuhkan kedudukan mereka.

Saya ingin bertanya kepada SPR, adakah pihak SPR begitu yakin bahawa dengan SPR sendiri dapat membanteras fenomena memanipulasi Daftar Pemilih ini? Jika begitu, mengapakah pihak SPR boleh membenarkan ratusan pendaftaran ragu sedemikian muncul dalam Daftar Pemilih? Ataupun lebih teruk lagi, adakah perkara jijik ini hasil komplot antara orang politik dan pegawai atasan SPR?

Saya telah membuat 5 kali pendedahan kes-kes pendaftaran ragu sejak Disember 2016 termasuk suatu kes yang membabitkan Menteri Besar Negeri Johor sendiri dan tiap-tiap kali, saya meminta penjelasan SPR. Pengerusi SPR ada ruang dan masa untuk berdepan dengan orang awam dan membidas tuduhan-tuduhan saya.

Sudah tentu saya akan hilang kredibiliti dan malu kalau SPR dapat tunjuk bukti bahawa tuduhan saya tidak berasas. Tetapi sampai hari ini SPR diam membisu. Kenapa?

Akhir sekali, saya ingin menegas sekali lagi bahawa adalah wajar bagi pihak SPR supaya menarik balik keputusan terbaru ini dan terus membekalkan RDPT kepada parti-parti politik.