Salam sejahtera dan terima kasih kepada Tan Sri Speaker atas kesempatan yang diberikan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan rundingan menjunjung kasih Titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor untuk merasmikan Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Johor Yang Ketigabelas yang disampaikan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor sebagai wakil rasmi kepada DYMM Tuanku Sultan. Setinggi-tinggi kasih Tuanku dijunjung.
Keselamatan Lalu-Lintas
Perancangan pembangunan sesuatu tempat perlulah dirangka secara rapi dan menyeluruh dengan mengambil kira keperluan setempat untuk jangka panjang. Ekoran pembangunan pesat di sepanjang Jalan Batu Pahat, FT50, lalu-lintas di jalan tersebut menjadi semakin sibuk dan kerap berlaku kes-kes kemalangan jalan raya antaranya banyak kes kemalangan maut. Dalam masa setahun yang lepas telah dilaporkan dalam media berlaku sebanyak 5 kes kemalangan maut di jalan tersebut.
Jawapan daripada pihak Kementerian Kerja Raya menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai peruntukan yang secukupnya dalam menjalankan penaiktarafan di Jalan Batu Pahat yang dijangka akan menelan perbelanjaan sebanyak 80 juta. Walaupun kita faham bahawa jalan tersebut bukanlah di bawah kuasa Kerajaan Negeri apakah salah pihak Kerajaan Negeri membuat sesuatu bagi mengurangkan kerugian nyawa dan harta? Janganlah kerajaan terlalu pasif dan lemah lembut apabila berurus dengan pihak Kementerian dalam perkara ini. Kerajaan perlu bertegas supaya perkara ini diberikan keutamaan tertinggi dan penaiktarafan Jalan Batu Pahat dapat dijalankan dalam tahun ini.
Pada masa yang sama, kerajaan perlu memberi perhatian yang sewajarnya kepada keselamatan lalu-lintas di jalan-jalan negeri yang berada di bawah selenggaraan kerajaan negeri seperti J191 Jalan Niyor dan J25 Jalan Renggam. Banyak kejadian kemalangan berlaku di Jalan Niyor khasnya di simpang-simpang utama taman perumahan seperti Taman Ria ekoran pembangunan taman-taman perumahan pesat di sepanjang Jalan Niyor. Rekabentuk keseluruhan Jalan Niyor perlu diperbetulkan. Bagaimana pun, Jabatan Kerja Raya Daerah Kluang menghadapi masalah kekurangan peruntukan pembangunan bagi memperbetulkan masalah ini. Justeru, kerajaan diminta memberikan peruntukan yang secukupnya untuk tujuan naik taraf jalan tersebut atau pun mendapatkan bantuan daripada PBT supaya dana ISR dapat digunakan untuk tujuan ini.
Selain itu kerajaan juga diminta memberi perhatian kepada Jalan Renggam yang mengalami pembangunan pesat walaupun masalah belum begitu ketara. Beberapa projek perumahan secara besar-besaran telah dibangunkan atau bakal dibangunkan di kawasan tersebut. Kerajaan perlu mengaji rekabentuk jalan tersebut bagi menjalankan ubahsuai rekabentuk jalan bagi mengelakkan masalah yang sama seperti Jalan Batu Pahat dan Jalan Niyor berulang di Jalan Renggam. Perkara ini berkait secara langsung dengan perancangan bandar dan wilayah. Justeru Pihak Berkuasa Tempatan digesa membuat perancangan secara menyeluruh dengan lebih teliti.
Air
Pengurusan sumber air merupakan salah satu teras utama dalam pentadbiran kerajaan negeri. Saya merakamkan syabas dan tahniah kepada kerajaan kerana mula menyedari kepentingan perkara ini dan mengambil berat tentangnya. Cadangan untuk menjalankan pengurusan lembangan sungai secara bersepadu adalah suatu langkah yang betul dan perlu dilaksanakan dengan secepat yang mungkin. Kini beberapa agensi yang berhubung kait dengan urusan sumber air seperti:
a)Jabatan Pengairan dan Saliran – yang menguruskan perparitan dan sungai khasnya dalam aspek hidrologi;
b)Jabatan Alam Sekitar – yang menjalankan penguatkuasaan terhadap pencemaran;
c)Pejabat Tanah – yang bertindak ke atas aktiviti-aktiviti pencerobohan kawasan tadahan air.
Dan kadang-kala Perhilitan, Jabatan Hutan atau mungkin Jabatan Pertanian.
Keadaan seperti ini adalah kurang berkesan kerana berlakunya kekeliruan dan pertindihan bidang kuasa. Oleh yang demikian adalah wajar sesebuah badan atau agensi yang menjalankan pengurusan air secara bersepadu ditubuh secepat yang mungkin bagi memastikan kelestarian sumber air di negeri Johor.
Saya melihat usaha kerajaan memperkasakan BAKAJ suatu berita baik kepada seluruh warga Johor. Baru-baru ini ada cadangan BAKAJ untuk mewujudkan Lembaga atau Perbadanan Pengurusan Air negeri Johor merupakan sesuatu insiatif yang baik.
Ada beberapa perkara yang perlu kita ambil perhatian berkenaan perkara ini:
- Rombakan perlu dijalankan supaya peranan dan bidang kuasa pelbagai agensi yang berkaitan ini tidak bertindih atau berlakunya apa-apa kekeliruan;
- Kuasa penguatkuasaan perlu diberikan sepenuhnya dan menyeluruh supaya aktiviti yang memudaratkan keselamatan sumber air dapat dibanteraskan;
- Pendapat dan ulasan daripada badan baru ini wajarlah merupakan salah satu syarat untuk mendapatkan kelulusan dalam projek-projek pembangunan khasnya projek-projek yang dijalankan dalam kawasan tadahan air;
- Menyediakan kewangan yang secukupnya supaya badan baru ini dapat melaksanakan segala kerja pemuliharaan kawasan tadahan yang dicerobohi dan termusnah.
Kerajaan juga menerangkan kepada rakyat, apakah kelebihan sesuatu Lembaga atau Perbadanan yang baru diwujudkan berbanding dengan BAKAJ. Kita berharap perkara ini dapat diputuskan secepat yang mungkin supaya isu-isu yang berkaitan dengan sumber air dapat diselesaikan dengan kadar segera supaya kita tidak lagi dihantui masalah gangguan bekalan air.
Bas Muafakat Johor
Pelaksanaan Bas Muafakat Johor merupakan suatu program yang baik jika dirancang dengan rapi dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh supaya program ini benar-benar memanfaatkan rakyat khasnya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Terdapat beberapa kekurangan pada program Bas Muafakat Johor di Kluang yang perlu diberikan perhatian.
- Perkhidmatan bas tersebut perlulah menghubungkan hospital dan pejabat pos.
- Kemudahan infra struktur yang secukupnya perlu disediakan sebenarnya sebelum perkhidmatan ini beroperasi. Dalam perjalanan kedua-dua lalun bas di Kluang hanya terdapat 7 perhentian bas iaitu di perhentian-perhentian sedia ada sebelum pelaksanaan program ini. Sekarang para penumpang hanya boleh turun/naik di mana-mana sahaja di tepi jalan sepanjang perjalanan bas. Perkara ini jelas menunjukkan kekurangan persediaan pihak tempatan dalam pelaksanaan program ini. Sebelum pelaksanaan program, pihak berkuasa tempatan sewajarnya menyediakan kemudahan infrastruktur yang secukupnya. Sekiranya pihak berkenaan menghadapi masalah untuk menyediakan sepenuhnya kesemua perhentian bas yang diperlukan mereka harusnya sekurang-kurang dalam fasa pertama menyediakan perhentian di lokasi-lokasi hotspot atau lokasi yang dijangka mempunyai ramai penumpang turun naik bas.
- Laluan bas sekarang merupakan lalun loop yang berselang sekurang-kurangnya satu jam. Ini bermakna seseorang penumpang menaiki bas di lokasi A dan turun di lokasi B perlu menunggu bas seterusnya (sejam kemudian) untuk pergi ke terminal bas Kluang (permulaan loop) dan menunggu seterusnya untuk pulang ke lokasi A. keseluruhan perjalanan yang kadang-kala kurang daripada 15 minit sekarang mengambil masa sekurang-kurangnya tiga jam. Ini bukan sahaja tidak praktikal malah telah meyulitkan penumpang dalam menggunakan perkhidmatan bas percuma ini.
- Selain itu, penumpang sekarang menghadapi masalah untuk menjangka Anggaran Waktu Tiba (Estimated Time of Arrival – ETA) bas di lokasi tertentu telah menyukarkan mereka merancang perjalanan apabila mereka bergerak dengan menggunakan perkhidmatan bas ini. Kelemahan-kelemahan ini mungkin antara punca program Bas Muafakat Johor kurang mendapat sambutan. Oleh yang demikian, adalah wajar pihak berkenaan menyediakan notis mempamerkan Anggaran Waktu Tiba di beberapa lokasi hotspot laluan bas dan perhentian-perhentian sedia ada. Ini bukan sahaja dapat memudahkan penumpang merancang perjalanan mereka malah juga dapat menjadi publisiti yang baik berkenaan laluan Bas Muafakat Johor.
- Sebahagian besar laluan bas sekarang tertumpu di kawasan komersil sahaja. Saya mencadangkan supaya perkhidmatan bas ini diubahsuai sedikit supaya meliputi lebih banyak kawasan perumahan khasnya kediaman kos rendah dan sederhana di Taman Sri Kluang dan dipanjangkan sekurangnya-kurangnya hingga ke Taman Desa dan Taman Klang Barat bagi laluan KL001 dan kawasan Kampung Paya, Kampung Melayu, Kampung Tengah, Taman Indah Jaya, dan sekurang-kurangnya ke Taman Fajar bagi laluan KL002 supaya lebih ramai orang berpeluang menikmati perkhidmatan bas percuma ini khasnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Saya berharap perkara-perkara yang telah saya sebut tadi mendapat perhatian daripada pihak berwajib dan diperbetulkan secepat mungkin.
Siaran Langsung
Menurut tradisi atau convention, dengan izin sistem parlimen Komanwel yang kita amalkan titah diraja merupakan dokumen yang menggambarkan polisi tuju dan hasrat kerajaan semasa. Justeru, para 57 titah diraja berkenaan perkara siaran langsung persidangan Dewan Negeri menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri masih belum bersedia untuk melaksanakannya. Kerajaan wajar menjelaskan sebab-sebab mengapakah kerajaan begitu keberatanuntuk membolehkan rakyat mengikuti persidangan Dewan yang Mulia ini melalui pelbagai saluran yang ada sekarang? Alasan bahawa bimbang jika ada di kalangan ahli-ahli yang berhormat dalam Dewan yang Mulia ini akan menjejaskan imej Dewan Negeri sebenarnya tidak wujud. Saya percaya semua ahli-ahli yang berhormat di sini mampu bertindak secara matang dan profesyenal jika diberikan layanan yang adil. Dan perkara ini terbukti dan jelas kelihatan melalui persidangan-persidangan empat penggal yang lalu.
Jika benar ada di kalangan ahli-ahli Dewan yang bertindak liar atau tidak berbudi bahasa bukankah perbuatan liar tersebut perlu didedahkan kepada rakyat? Supaya rakyat lihat sendiri bagaimanakah wakil rakyat mereka berhujah dalam Dewan Negeri dan jika mereka berasa tidak setuju biarlah menolak wakil rakyat seperti ini melalui kertas undi semasa pilihanraya.
Saya yakin bahawa persiaran langsung persidangan Dewan sebenarnya dapat mengharumkan nama Dewan Negeri Johor. Ahli-ahli Dewan akan lebih berhemah dan bertindak profesyenal kerana kita tahu rakyat di luar sana sedang meneliti prestasi kita melalui monitor atau radio. Justeru, saya meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan untuk membuat siaran langsung ini atau pun memberikan kemudahan kepada mana-mana pihak yang berhasrat berbuat demikian. Sekiranya benar wujudnya kebimbangan oleh DYMM Tuanku Sultan, saya memohon kerajaan meyakinkan Tuanku dengan menerangkan keperluan dan kebaikan untuk melaksanakan siaran langsung ini.
Manipulasi Sistem Pilihanraya
Beberapa orang ahli yang berhormat telah menafikan berlakunya penyelewengan dan manipulasi sistem Pilihanraya yang menguntungkan kepada Parti Pemerintah. Saya tidak bercadang untuk masuk ke detil untuk membincangkan contoh-contoh yang diberikan mereka kerana ada yang benar dan ada yang salah. Bagaimana pun cara berhujah mereka cuba memberikan tanggapan atau persepsi bahawa sistem pilihanraya kita sempurna, tidak bermasalah, adil dan bebas. Hakikatnya bukan seindah yang digambarkan oleh mereka.
Saya sendiri telah beberapa kali mendedahkan wujudnya pemilih yang tidak bermastautin di alamat mengundi atau kerap kali digelar sebagai pemilih hantu. Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan termaktub bahawa seseorang warganegara yang telah cukup umur 21 tahun dan bermastautin di sesuatu bahagian pilihanraya layak berdaftar sebagai pemilih di bahagian pilihanraya tersebut. Dengan kata lain, seseorang yang tidak bermastautin di sesuatu bahagian pilihanraya tesebut adalah tidak layak berdaftar sebagai pemilih di situ, dan itulah yang dimaksudkan dengan pemilih hantu.
Antara kes-kes yang saya dedahkan termasuklah rumah usang yang telah dibiar kosongkan untuk beberapa bulan, rumah yang tidak wujud tetapi telah didaftarkan pemilih di alamat tersebut. Termasuklah dapatan bahawa terdapat 40 orang pemilih yang telah didaftarkan di pejabat parti politik termasuk YAB Menteri Besar sendiri. Adakah YAB Menteri Besar betul-betul bermastautin di pejabat tersebut? Bagaimana pula dengan kediaman rasmi yang disediakan untuk beliau di Saujana? Sebagai ketua pentadbiran, bukankah YAB perlu menunjukkan teladan yang baik dalam menegakkan institusi pilihanraya negara kita.
Baru-baru ini saya juga telah mendedahkan situasi di mana pemilih disyaki didaftar dua atau lebih kali yang bercanggah dengan prinsip SATU ORANG SATU UNDI. Dua nama yang sama, tarikh lahir yang sama telah didaftarkan di Kem Mahkota dengan menggunakan no tentera sebagai pemilih tidak hadir pada masa yang sama juga didaftar di Kampung Melayu, Kluang sebagai pemilih biasa. Seorang pemilih di Kluang juga didapati berdaftar di Batang Sadong, Sarawak dengan nama, tarikh lahir dan no kad pengenalan lama yang sama. Sangat jelas kedua-dua pemilih ini merupakan orang yang sama.
Bukankah apa yang saya sebut di atas ini merupakan antara penyelewengan yang cuba memanipulasi keputusan pilihanraya? Kes-kes yang dapat dikesan dan didedahkan ini berlaku di kawasan-kawasan yang mana UMNO menang dengan majority yang tipis sahaja. Adakah ini hanya kebetulan? Ataupun lebih teruk lagi, adakah perkara jijik ini hasil komplot antara orang politik dan pegawai atasan SPR?
Saya telah lebih daripada 5 kali mendedahkan kes-kes pendaftaran ragu dan penyelewengan sistem pillihanraya untuk 6 bulan yang lalu termasuk suatu kes yang membabitkan YAB Menteri Besar Negeri Johor sendiri dan tiap-tiap kali, saya meminta penjelasan SPR. Pengerusi SPR ada ruang dan masa untuk berdepan dengan orang awam dan membidas tuduhan-tuduhan saya. Sudah tentu saya akan hilang kredibiliti dan malu kalau SPR dapat tunjuk bukti bahawa tuduhan saya tidak berasas. Tetapi sampai hari ini SPR diam membisu. Kenapa? Jawapannya ialah apa yang saya sebut tadi bukan sesuatu tuduhan liar tetapi sesuatu yang berasas.
Dengan itu, saya ingin memberitahu ahli-ahli yang berhormat di sebelah sana, mungkin mereka tidak terlibat dalam manipulasi yang saya sebut tadi. Namun itu tidak bermaksud perkara itu tidak berlaku dan Pakatan Harapan dapat memenangi negeri-negeri Pulau Pinang dan Selangor bukannya sesuatu yang boleh membuktikan bahawa sistem pilihanraya kita adalah adil dan bebas. Sebaliknya ianya memberi suatu iktibar kepada ahli-ahli politik bahawa kuasa rakyat lah yang menjadi kuasa mutlak untuk menentukan kedudukan kita. Kebangkitan kuasa rakyat dapat mengatasi segala bentuk penyelewengan dan manipulasi sistem pilihanraya. Jadi, ingatlah bahawa kita dipilih oleh rakyat dan kita perlu mengenang dan membalas budi rakyat yang memberi sokongan kepada kita. Janganlah sekali-kali meminta rakyat mengenang budi kita sebaliknya kitalah yang perlu mengenang dan membalas budi rakyat dengan melaksanakan dasar-dasar yang memanfaatkan rakyat.
Sekian sahaja, terima kasih.