Skip to content

Ucapan Perbahasan Usul Junjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor sempena pembukaan Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Ke-13 oleh ADUN Tangkak, Ee Chin Li

Selamat petang dan selamat sejahtera, terima kasih Yang Berhormat Speaker kerana memberi peluang untuk menyertai perbahasan dalam usul menjunjung kasih di atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.

Dalam perkara kelima, keenam dan kelapan Titah Ucapan DYMM Sultan Johor sempena perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Kelima Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ketiga Belas pada 4 Mei yang lalu, Tuanku telah menashihatkan kerajaan supaya jangan memilih pelabur yang hendak datang ke Johor, dan kerajaan mestilah menggalakkan pelaburan untuk jangka masa panjang dan mempunyai nilai tambah yang tinggi serta industri yang tidak berbahaya kepada orang ramai dan alam sekitar.

Tuanku juga hendak industri yang melibatkan bahan kimia yang beracun atau yang mudah meletup hendaklah diteliti dengan betul dan jika hendak diterima, kerajaan harus pastikan ianya diletakkan di kawasan yang jauh dari kawasan perumahan.

Yang Berhormat Speaker,

Yang Berhormat Bukit Permai telah mendakwa pihak Pakatan Harapan menyebabkan sebuah syarikat yang dimiliki Taiwan menarik diri daripada melabur di projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang dalam perbahasan beliau ketika membawa rundingan menjunjung kasih Titah Ucapan DYMM Sultan Johor pada hari Ahad lalu di Dewan yang mulia ini.

Untuk makluman Yang Berhormat Speaker, pada tahun 2011, kilang penapisan minyak Kuokuang Petrochemical Technology Company (KPTC) telah bercadang untuk melabur di projek RAPID Pengerang.

Latar belakang KPTC yang dimiliki Taiwan ini ingin melabur di Johor adalah kerana kilang penapisan mereka yang terletak di Daerah ZhangHua Taiwan perlu ditutup selepas beroperasi selama 25 tahun di situ atas sebab janji syarikat kepada bantahan penduduk-penduduk setempat.

Alasan penduduk-penduduk di Daerah ZhangHua membantah kilang penapisan minyak tersebut adalah kerana pencemaran udara di Dearah ZhangHua menambah serius selepas kilang itu mula beroperasi, pemilik kilang terpaksa membuat perjanjian bersama pembantah dan pemilik harus cari lokasi baru untuk menerus operasi kilang penapisan minyak.

Selama 25 tahun KPTC beroperasi di Taiwan, telah berlaku banyak kes kemalangan seperti kebocoran minyak mentah, letupan paip minyak dan kebakaran kilang.

Antaranya yang lebih serius adalah pada bulan Ogos 1996, kejadian kebocoran minyak kilang KPTC telah menyebabkan berlaku “hujan minyak” di sekitar 3 kilometer kawasan kilang tersebut, kesemua asrama pekerja dan kediaman penduduk di situ telah terlibat dengan pencemaran udara yang teruk itu.

Pada bulan April 2002, bulan Jun 2004 dan bulan Julai 2013 juga berlaku kebocoran minyak di kilang penapisan, kejadian kebakaran pula berlaku pada bulan Julai dan Oktober 2007, bulan Februari 2013 dan bulan April 2014.

Kes letupan semasa kilang itu beroperasi berlaku pada bulan Januari 2008, bulan April 2012 dan bulan Mei 2013.

Jadi, dalam tempoh 25 tahun kilang penapisan minyak KPTC beroperasi, 12 kes kemalangan industri yang membahayakan penduduk setempat dan merosak alam sekitar telah berlaku. Ini terbuktilah kilang KPTC adalah kilang yang bahaya dan membawakan pencemaran kepada alam sekitar.

Begitulah sebab-sebab kami berdiri bersama penduduk-penduduk Pengerang yang membantah KPTC daripada membina kilang kotor di tempat duduk mereka.

Yang Berhormat Bukit Permai juga mendakwa bahawa kami yang membawa wakil-wakil penduduk Pengerang membuat protes di Taiwan telah mengakibatkan Malaysia dan Johor terlepas pelaburan tersebut.

Apa yang saya mahu menegaskan adalah pertama, kami tidak rasa tindakan protes di Taiwan pada tahun 2013 itu salah, kerana kita sebagai anak Johor dan Malaysia yang cinta Negara dan Negeri tidak mahu kilang kotor dari luar membawa kesan buruk kepada tanah air kita.

Kedua, keputusan tidak melabur di Johor yang dibuat oleh pihak KPTC adalah berdasar daripada kemunculan Gas Serpih di Amerika Syarikat pada tahun 2010, salah satu gas alam yang jauh lebih murah daripada minyak mentah.

Oleh itu, saya dengan ini meminta Yang Berhormat Bukit Permai mengemukan bukti beliau yang mendakwakan kami sebagai khianat dalam sesi perbahasan beliau di dewan yang mulia ini, kalau tidak, hujahan beliau adalah satu tuduhan jahat dan telah mengelirukan dewan yang mulia ini.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta Kerajaan Negeri Johor menyatakan pendirian terhadap pelaburan asing yang membawa kesan buruk kepada negeri kita, seperti kilang KPTC yang saya sebut tadi.

Satu lagi huraian Yang Berhormat Bukit Permai yang menarik perhatian saya adalah beliau sebagai seorang wakil rakyat daripada pihak kerajaan, telah memangil Taiwan sebagai sebuah Negara.

Adakah pendirian beliau disokong oleh Kerajaan Negeri Johor? Memandangkan pendirian Malaysia adalah mengiktiraf hanya satu China, iaitu Republik Rakyat China, dengan Taiwan hanya merupakan salah satu daripada wilayahnya.

Yang Berhormat Speaker,

PBT

Menurut Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan 1976, Bahagian 4, Seksyen 23 telah menyatakan mesyuarat pihak berkuasa tempatan hendaklah terbuka kepada orang ramai, tetapi sesetengah PBT di Johor tidak mematuhi undang-undang ini.

Contohnya, pada 29 Mac lalu, Majlis Perbandaran Muar telah meminta YB Bentayan keluar dari Mesyuarat Penuh MPM sebelum ia bermula, pada hari yang sama, YB Mengkibol juga dihalang daripada menghadiri Mesyuarat Penuh Majlis Perbandaran Kluang, pintu masuk ditutup semasa beliau tiba di MPK.

Bayangkanlah, kalau sebagai seorang wakil rakyat boleh dihalang daripada menghadiri mesyuarat pihak berkuasa tempatan, apatah lagi nasib orang-orang awam yang diberi hak bawah peruntukkan undang-undang ini?

Saya meminta Yang Berhormat EXCO Kerajaan Tempatan memberi penjelasan berhubung dengan tindakan langgar undang-undang yang dilakukan oleh sesetengah PBT ini.

Untuk makluman Yang Berhormat Semerah, PBT-PBT bawah pimpinan Kerajaan Pakatan Harapan di Selangor dan Pulau Pinang memang tidak menjemput wakil-wakil rakyat pembangkang di kedua-dua negeri itu untuk menghadiri Mesyuarat Penuh PBT, wakil rakyat Barisan Nasional yang menjadi pembangkang di situ tidak perlu dijemput kerana Mesyuarat Penuh PBT-PBT di Selangor dan Pulau Pinang telah disiarkan secara langsung di atas talian, sesiapa yang ingin mengetahui perjalanan mesyuarat PBT boleh melayani laman web yang disediakan.

Kami juga ingin mengingatkan Yang Berhormat Semerah bahawa tujuan kami mahu hadir ke Mesyuarat Penuh PBT bukannya hendak menyertai dalam perbahasan mesyuarat PBT, kami cuma hadir sebagai orang awam dan penduduk setempat yang diberi hak untuk menghadiri mesyuarat penuh PBT di bawah Akta 171.

Di Negeri Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Majlis Daerah Kota Tinggi telahpun mengikut langkah baik PBT di negeri Pakatan Harapan dengan berjaya menyediakan siaran langsung bagi Mesyuart Penuh Bulanan masing-masing, tahniah kepada warga MBJBT dan MDKT, langkah ini perlu dicontohi oleh PBT-PBT yang lain di Negeri Johor.

SIARAN LANGSUNG DUN

Saya faham kerisauan Tuanku dalam perkara 57 Titah Ucapan bahawa imej dewan Negeri boleh terjejas jika kelakuan tidak baik dibuat oleh ADUN-ADUN di dalam dewan yang mulia ini, tapi saya percaya, rakan-rakan Yang Berhormat yang berada di dalam Dewan Negeri Johor sebagai wakil rakyat dan yang dipilih oleh anak Johor di kawasan masing-masing akan menjalankan tugas kita dan menyampaikan perbahasan kita dengan bersopan dan bertanggungjawab.

Saluran siaran langsung juga salah satu peringatan kepada kita kerana apa-apa perbuatan dan percakapan kita dalam Dewan Yang Mulia ini boleh dinampak oleh orang ramai, kalau ada Yang Berhormat yang masih degil, biarlah kelakuan beliau dilihat oleh pemilih-pemilih di luar sana.

Tambahan lagi, dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen dan mengamalkan prinsip pembahagian kuasa kepada 3 bahagian, Perundangan, Kehakiman dan Eksekutif, Persidangan Dewan negeri yang dianggotai oleh wakil yang dipilih oleh rakyat adalah merupakan sebahagian dari prosees tersebut. Oleh yang demikian, rakyat juga berhak untuk mengambil tahu akan perjalanan persidangan dan sebuah kerajaan yang demokratik patut meraikan penyertaan rakyat dalam proses demokrasi ini.

Oleh itu, saya merayu kerjasama daripada semua Yang Berhormat supaya menjaga imej Dewan Negeri Johor bersama-sama dan menyakinkan Tuanku bahawa kita tidak akan memalukan Negeri Johor selepas persidang Dewan Negeri disiaran langsungkan.

Yang Berhormat Speaker,

Ahli-ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan yang dilantik oleh parti-parti politik berperanan sebagai jambatan atau orang tengah kepada penduduk dengan Kerajaan Tempatan, mereka ditugaskan untuk mentadbir dan menjaga kawasan PBT.

Penduduk selalu mengalami masalah apabila berlaku hal ehwal di bawah kuasa PBT tidak dapat diselesaikan, pada masa yang sama, mereka tidak dapat menghubungi ahli-ahli majlis PBT untuk pertolongan. Perkara ini berlaku terutama di kawasan-kawasan luar bandar yang penduduknya kebanyakan terdiri daripada warga-warga emas.

Walaupun kebanyakan PBT di Negeri Johor ada senaraikan nombor telefon kesemua ahli majlis mereka, tetapi mereka yang duduk di luar bandar belum biasa lagi mengguna laman web. Majlis Perbandaran Kluang, Majlis Daerah Labis, Majlis Daerah Mersing dan Majlis Daerah Yong Peng langsung tidak memaparkan nombor telefon ahli majlis di laman web mereka.

Saya berharap kesemua PBT harus menwajibkan ahli-ahli majlis mereka membuka pusat perkhidmatan atau sekurang-kurangnya kaunter perkhidmatan di zon-zon PBT jagaan mereka.

Prestasi ahli-ahli majlis juga perlu dipantau dan dikaji sentiasa kerana perlantikan mereka adalah daripada parti-parti pemerintah, ada sesetengah ahli majlis yang tidak bertanggungjawab tidak menjalankan tugas mereka dengan baik, oleh sebab mereka bukan dipilih oleh rakyat, penduduk tidak dapat menolak perlantikan jawatan ahli majlis mereka.

Cuma dengan ahli-ahli majlis PBT yang bertanggungjawab, proaktif dan efisien, barulah Kerajaan Tempatan kita akan relevan dan akhirnya rakyat yang membayar cukai boleh dapat manfaat.

ISU KAWASAN

Yang Berhormat Speaker,

Telah banyak kali saya mengutarakan masalah-masalah yang berlaku di tapak pelupusan sisa pepejal di Jalan Belading Bekoh Tangkak di Dewan yang mulia ini, termasuk tapak pelupusan yang beroperasi sejak tahun 2000 ini telah melebihi had maksimum tapak, masalah kebakaran tapak dan sebagainya.

Kali ini saya terpaksa mengulang lagi masalah mengenai tapak pelupusan sisa pepejal ini kerana tapak yang sudah melebihi had kapasiti telah menyebabkan pencemaran air di sekitar kawasannya. Air kotor dari tapak pelupusan masuk ke parit-parit depan kebun buah-buahan yang berdekatan dengannya.

Air sampah dalam parit bukan saja mengotorkan alam sekitar, tetapi yang paling kami risau adalah bau-bau air kotor itu akan membahayakan kesihatan pekebun-pekebun yang bekerja di kebun mereka. Menurut jawapan yang dibekalkan oleh pihak Kerajaan Tempatan, proses pengambilan tanah untuk memperluaskan tapak pelupusan sisa pepejal ini masih dalam urusan mendapatkan Geran Hak Milik Tanah dengan Pejabat Tanah Tangkak.

Ia bermakna, kolam takungan air leachate yang akan mengumpul air sampah melalui paip pengumpulan sekeliling tapak masih tidak boleh disediakan lagi, saya berharap pihak MDT, SWCorp, SWM dan Jabatan Alam Sekitar boleh memandang serius terhadap masalah yang dihadapi oleh pekebun-pekebun sekitar situ.

Kerajaan juga berhasrat menaik tarafkan tapak pelupusan sisa pepejal ini kepada stesen pemindahan yang mempunyai sistem rawatan air lelehan, haraplah kerja-kerja naik taraf boleh dipercepatkan.

Jalan J123 atau lebih dikenali Jalan Bekoh telah digunakan oleh lori-lori pengangkutan sisa pepejal setiap hari dan ia juga sebagai jalan tunggal bagi penduduk-penduduk di Kampung Bekoh pergi ke Bandar Tangkak.

Jalan yang sepanjang 28 kilometer ini juga diguna oleh lori-lori membawa batu bata yang dimiliki oleh sebuah kuari di situ. Jalan yang sempit selalu mengancam keselamatan penduduk kampung. Saya minta jasa baik JKR supaya jalan J123 ini boleh dilebarkan secepat mungkin kerana selalu berlaku kemalangan jalan raya yang melibatkan cedera parah.

Terima kasih diucapkan kepada Yang Berhormat EXCO JKR kerana telah meluluskan peruntukan penyenggaraan sebanyak RM1.5 Juta untuk melebarkan persimpangan Jalan Payamas dan Jalan Bekoh pada tahun lalu. Saya berharap perabot jalan raya seperti tiang PU boleh dipasang bagi memudahkan kenderaan keluar masuk dari persimpangan tersebut.

Yang Berhormat Speaker,

Pada bulan Januari lalu, penduduk di Kampung Orang Asli Tanah Gembur yang terletak di Gunung Ledang telah mendakwakan bahawa tanah adat mereka dipagar oleh Taman Negara Johor, kawasan terlibat adalah kebun tanaman dan tapak perkuburan nenek moyang orang asli.

Kerajaan Johor memaklumkan bahawa menurut Warta Kerajaan Negeri Johor Bilangan 298 yang bertarikh 3 Jun 1940, seluas 9052.8 hektar tanah di Gunung Ledang telah diwartakan sebagai Hutan Simpan.

Apabila saya membuat lawatan ke tapak pembinaan pagar di Gunung Ledang, satu papan tanda lama yang diletak di situ menunjukkan Hutan Simpanan Kekal Gunung Ledang dengan nombor warta yang sama hanya menulis keluasan 8681 hektar.

Jadi, saya minta Kerajaan menjelaskan bahawa adakah keluasan hutan simpanan telah diperluaskan selepas ia diwartakan.

Sekian, Terima kasih.