Skip to content

Ucapan Perbahasan Usul Junjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor sempena pembukaan Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Ke-13 oleh ADUN Pekan Nenas, Yeo Tung Siong

Selamat sejahtera Yang Berhormat Tan Sri Speaker dan rakan-rakan Ahli Dewan sekalian. Pekan Nenas ingin menjunjung setinggi-tinggi kasih atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor sempena pembukaan rasmi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Ke-13 pada 4 Mei lalu.

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

1. Projek Pembangunan Mesra Rakyat

Pekan Nenas menyambut baik dengan usaha kerajaan meningkatkan infrastruktur awam. Malah usaha peningkatan infrastruktur awam perlu dirancangkan secara teliti dan menerima pandangan dari orang ramai supaya memadai dengan kehendak pengguna.

Pembinaan pasar baru Pontian yang siap sejak akhir-akhir ini telah mendapat pelbagai aduan daripada orang awam. Ruang berniaga yang disediakan terlalu kecil sehingga penjaja tidak dapat meletakkan peti sejuk dan kotak ais yang sedia ada. Di samping itu, kolidor pasar baru juga didapati sempit dan terdiri daripada jubin yang licin. Longkang yang baru didapati mudah tersumbat.

Sebahagian penjaja terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk menukar penutup longkang yang terdiri daripada plastik dan mudah tersisir keluar supaya tidak menghadapi risiko terjatuh.

Suatu projek pembangunan yang berjaya dan bersifat mesra rakyat perlu melibatkan pandangan orang ramai dan memadai keperluan pengguna. Pihak MDP sepatutnya memungut pandangan penjajaja dan menyediakan peruntukan untuk menjalankan kerja-kerja ubahsuai supaya pasar Pontian lebih mesra rakyat.

Di samping itu, sebarang pembinaan infrastruktur baru perlu melibatkan perancangan untuk jangka masa panjang. Pembinaan pasar Pontian baru sepatutnya dibina dengan keluasan yang lebih besar untuk menampung peningkatan penduduk pada masa akan datang. Adalah tidak wajar pasar baru dibina lebih kecil jika berbanding dengan pasar lama.

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

2. Jambatan Kedua Sungai Pontian

Pekan Nenas juga bersambut baik dengan usaha pembinaan jambatan baru merentasi Sungai Pontian Kecil. Malah penduduk tempatan berasa risau sebab pembinaan jambatan baru tersebut melibatkan penambakan tanah yang akan menyebabkan muara sungai Pontian Kecil menjadi semakin sempit. Adakah kapasiti pengaliran air sungai akan tersekat dan menjadi punca banjir kilat pada masa yang akan datang? Kerajaan perlu memastikan sebarang pembangunan tidak mendatangkan masalah kepada penduduk tempatan.

Di samping itu, jeti baru yang dibina di Pusat Perdagangan Pontian masih menghadapi pelbagai masalah menyebabkan nelayan enggan pindah. Masalah kedalaman seabed yang tidak mencukupi dan kedatangan species laut di jeti baru yang disyaki cacing kapal (teredo navalis) telah merosakkan struktur bot nelayan yang terdiri daripada kayu. Ini telah menyebabkan nelayan mengalami kerugian serius dan tidak berani pindah ke jeti yang baru.

Pekan Nenas tidak bersetuju dengan tuduhan sesetengah pihak bahawa nelayan enggan bekerjasama untuk pindah ke jeti baru. Sepanjang pengetahuan saya, nelayan juga menanggung sebahagian kos pemasangan pancang dan paip air di jeti baru. Adalah tidak adil untuk memaksa nelayan pindah ke jeti baru sekiranya masalah yang timbul tidak diselesaikan secaa sempurna. Kelonggaran masa perlu diberi kepada nelayan dan pihak kerajaan perlu mencari langkah menyelesaikan masalah kedalaman seabed tidak mencukupi dan masalah kewujudan cacing kapal.

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

3. Peniaga Pusat Perdagangan Pontian

Pekan Nenas juga hendak menyampaikan aduan peniaga-peniaga yang mengalami pelbagai masalah dan gangguan akibat pihak MDP membenarkan acara pertandingan memancing dijalankan di Pusat Perdagangan Pontian. Walaupun pihak MDP menyatakan aktiviti tersebut adalah kegiatan pelancongan yang menggalakkan pelancong luar ke kawasan tersebut dan sekaligus menaikkan perniagaan di kawasan tersebut. Malah apabila pertandingan memancing dijalankan, Pusat Perdagangan Pontian mengalami kesesakan lalulintas yang serius dan kekurangan tempat meletak kereta. Pemandu susah keluar masuk atau menghentikan kereta mereka di kawasan tersebut sehinggalah pelanggan tidak pergi ke Pusat Perdagangan Pontian semasa pertandingan memancing dijalankan.

Perniagaan di Pusat Perdagangan Pontian bukannya meningkat, tetapi sebaliknya merosot setiap kali aktiviti berikut dijalankan. Sebahagian daripada peniaga terpaksa tutup kedai semasa pertandingan memancing dianjurkan. Peniaga juga menghadapi masalah sampah dan umpan memancing bertaburan selepas aktiviti pemancingan.

Peniaga dan penduduk tempatan bersambut baik dan meyokong penganjuran aktiviti yang bermakna tetapi Pusat Perdagangan Pontian dengan nyatanya tidak sesuai digunakan sebagai tapak pertandingan memancing. Saya menyeru pihak MDP jangan meluluskan pertandingan memancing dijalankan di Pusat Perdagangan Pontian lagi.

Di daerah Pontian, kita ada banyak lokasi yang jauh lebih sesuai untuk menjadi lokasi pertandingan memancing. Pihak penganjur boleh menganjurkan pertandingan memancing di Taman Negara Tanjung Piai, tapak rekreasi Rambah ataupun tempat lain tanpa mengganggu dan menjejaskan kepentingan orang lain. Pihak MDP perlu bijaksana membuat keputusan untuk mewujudkan win-win situation untuk semua pihak.

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

4. Projek Pusat Perdagangan Pekan Nanas

Pelaksanaan projek Pusat Perdagangan Pekan Nanas dan Taman Sri Pulai telah melibatkan penggunaan tanah di hadapan sebuah rumah berhala Tokong Jeram Pekan Nenas untuk tujuan pembinaan sistem kemudahan sanitari.

Tapak tersebut merupakan sebuah gelanggang keranjang dan tempat rekreasi untuk penduduk tenpatan. Setiap pagi terdapat beratus-ratus penduduk tempatan menjalankan senaman di kawasan tersebut. Setiap petang, terdapat pemuda main bola keranjang di kawasan itu. Saya berharap tapak di hadapan rumah berhala Tokong Jeram dapat dikekalkan sebagai tempat rekreasi untuk kebaikan penduduk tempatan.

Projek pembangunan yang melibatkan usahasama kerajaan dengan pihak swasta tidak seharusnya hanya mementingkan keuntungan. Keharmonian sosial dan kepentingan masyarakat juga perlu dijaga dalam arus pembangunan ekonomi.

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

5. Pembinaan Hospital Baru di Daerah Pontian

Menurut jawapan bertulis yang didapati pada persidangan dewan bertarikh 8 September, klinik kesihatan Pekan Nenas dijangka siap pada 10 Mac 2017. Saya ingin memohon pencerahan mengenai perkembangan projek ini. Bila masa klinik kesihatan ini akan disiapkan sepenuhnya dan mulai beroperasi. Penduduk tempatan amat mengalu-alukan projek ini dan berharap klinik baru dapat beroperasi secepat mungkin.

Menurut Rancangan Tempatan Daerah Pontian 2002-2015, terdapat suatu cadangan pembelian tanah seluas 22.75 ekar untuk membina hospital baru di daerah Pontian. Saya berasa kesal bahawa rancangan tersebut tidak direalisasikan.

Pekan Nenas menyeru pihak kerajaan membina hospital pakar baru di daerah Pontian memandangkan hospital yang sedia ada telah bersejarah lama dan uzur. Hospital Pontian yang asalnya Cucub Government Hospital yang didirikan pada 5 Jun 1917, akan bersejarah 100 tahun pada bulan depan. Disebabkan hospital Pontian merupakan hospital tanpa pakar. Pesakit hospital Pontian yang lebih serius perlu dihantar ke hospital Sultan Aminah untuk menerima rawatan yang lebih teliti. Kerja menghantar pesakit dari Pontian ke Johor Bahru menerima rawatan melibatkan masa yang panjang dan sumber tenaga yang banyak. Ini membawa kesulitan kepada pesakit dan menambahkan beban dan kerja penjawat kesihatan di hospital Pontian.

Saya berharap kerajaan Johor memainkan peranan yang penting dalam usaha mendesak kerajaan persekutuan merealisasikan segala projek pembangunan infrastruktur di negeri Johor supaya pembangunan dan kepentingan bangsa Johor tidak terjejas.

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

6. Cabaran Penuaan Penduduk

Kerajaan pernah menetapkan sasaran menyediakan 2.5 katil per 1000 penduduk dalam Rancangan Malaysia Ke-10, malah sasaran ini dikurangkan menjadi 2.3 katil per 1000 penduduk dalam Rancangan Malaysia ke-11.

Pengurangan sasaran tersebut adalah tidak wajar memandangkan Malaysia bakal mengalami keadaan penuaan penduduk pada tahun 2021, iaitu apabila penduduk berumur lebih 65 tahun melepasi 7% daripada populasi penduduk.

Warga emas memerlukan perkhidmatan perubatan dan kesihatan yang lebih ketara jika berbanding dengan orang muda. Dengan menghadapi cabaran penuaan rakyat Malaysia, negara kita perlu melipatgandakan usaha pembinaan hospital supaya negara kita berjaya menyediakan lebih banyak sumber perkhidmatan perubatan dan kesihatan untuk menampung permintaan masa depan yang terdiri bukan sahaja melibatkan peningkatan penduduk, tetapi juga penambahan warga emas yang semakin ketara.

Pekan Nenas berasa risau tentang prestasi perkhidmatan perubatan dan kesihatan negara kita pada masa yang akan datang jika usaha sedia ada tidak dipertingkatkan.

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

7. Buruh China di Forest City

Menurut laporan khas Malaysiakini, terdapat ratusan warganegara China terpesona dengan gaji tinggi, ditipu memasuki Malaysia dengan pas lawatan sosial tetapi bekerja di Forest City secara haram dengan dibayar gaji lebih rendah daripada yang dijangkakan. Di antaranya, terdapat pekerja China yang mendakwa mereka telah bekerja beberapa bulan malah belum mendapat bayaran. Pihak polis dan jabatan imigresen seharusnya membuat siasatan terperinci terhadap keadaan ini.

Jika keadaan ini benar-benar berlaku, tindakan tegas perlu diambil untuk memastikan pencabulan hak asasi manusia tidak berlaku.

Selain itu, kemasukan pekerja haram juga dikhuatir akan menyebabkan penduduk tempatan terpaksa menerima bayaran gaji yang lebih rendah akibat persaingan untuk mendapat peluang pekerjaan. Adalah tangungjawab kerajaan untuk memastikan projek pelaburan asing akan membawa manfaat kepada rakyat dengan menyediakan peluang pekerjaan dan pendapatan yang baik kepada penduduk tempatan.

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

8. Rasuah menyebabkan Kos Hartatanah Meningkat

Harga rumah melambung sejak akhir-akhir ini menyebabkan rakyat semakin susah untuk memiliki rumah sendiri. Walaupun pelbagai langkah telah diambil, kenaikan harga rumah masih gagal dikawal.

Pekan Nenas bersetuju dengan pandangan ketua SPRM bahawa peningkatan harga rumah yang keterlaluan pada masa ini ada kaitan dengan amalan rasuah yang membabitkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta.

Amalan rasuah dalam bidang pembangunan hartatanah telah dijangka menyebabkan peningkatan harga rumah sebayak 20%. Oleh itu, saya menyeru pihak kerajaan untuk mengkaji segala prosedur dalam urusan projek pembangunan hartatanah untuk membanteras segala peluang untuk menjalankan rasuah dan menurunkan harga rumah dengan usaha membasmikan kos rasuah dalam bidang hartatanah.

Kecekapan dan ketelusan kerajaan memainkan peranan yang penting dalam usaha membanteras rasuah. Setiap permohonan dan kelulusan urusan kerajaan mesti dikenakan SOP yang jelas dan segala keputusan permohonan tidak sepatutnya melibatkan penggunaan masa yang lama.

Kecekapan yang rendah dan prosedur yang lambat akan memberi peluang di mana satu pihak mungkin cuba melengah-lengahkan masa kelulusan untuk menunggu tawaran rasuah manakala bagi pihak yang lain juga mungkin cuba menyogok wang untuk mencari jalan pintas untuk mempercepatkan proses berikut.

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

Pekan Nenas ingin membalas ucapan Senggarang yang menyatakan bahawa pihak pembangkang mengambil kesempatan membuat laporan polis dan SPRM untuk menghubungkaitkan menteri besar dalam skandal rasuah. Nanum, Pekan Nenas ingin menegaskan bahawa laporan dibuat adalah berasaskan kenyataan yang dikeluarkan menteri besar bercanggahan dengan Jawapan yang didapati melalui dewan yang mulia ini. Adalah tidak munasabah bahawa sebanyak 4,503 unit perlepasan bumiputra pada April tahun 2016 tetapi bilangan berkurang kepada 3000 unit pada Mac 2017. Disebabkan soalan integriti adalah sesuatu yang tidak bertolak ansur. Oleh itu, laporan polis dibuat bukan berniat untuk merosakkan imej sesiapapun seperti yang dinyatakan Senggarang.

Kedua, saya juga ingin mengingkatkan Senggarang bahawa apabila berlakunya khabar angin menteri besar Johor akan ditukar, pihak pembangkang juga bertindak secara adil dan tidak mengambil kesempatan untuk menabur garam di atas luka. Pada masa itu, Pekan Nenas pernah berkata jika ada usul ketidakyakinan dalam dewan ini, usul ketidakyakinan ini tidak harus ditujukan kepada menteri besar tetapi menuju kepada perdana menteri. Dan untuk pengetahuan Senggarang, Pekan Nenas yang pernah membangkitkan usul ketidakyakinan terhadap perdana menteri. Walaupun kami pembangkang, kami berintegriti dan akan menjalankan perlawanan kami secara gentleman.

Saya percaya tuduhan Senggarang mungkin berpunca daripada salah faham dan bukan sengaja buruk sangka terhadap pihak pembangkang.

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

Pekan Nenas bersetuju titah tuanku bahawa kes-kes siasatan oleh SPRM terhadap penjawat awam kerajaan Johor janganlah dilihat sebagai satu cara untuk melemahkan pentadbiran kerajaan Johor. SPRM perlu menjalankan siasatan terperinci tanpa memilih bulu apabila menerima laporan tidak mengira siapapun yang terlibat dalam skandal rasuah.

Selain itu, untuk menghapuskan segala keraguan yang timbul, Tabung Perumahan Bumiputra perlu diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) Johor.

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

9. Menolak kerajaan Kleptocrasy

Rasuah adalah musuh utama rakyat Malaysia. Rakyat berasa marah apabila melihat pemimpin Barisan Nasional diserbu SPRM dalam siasatan skandal rasuah, dirampas berderet-deret kereta mewah, beratus-ratus beg mewah di dalam rumah mereka.

Rakyat juga berasa marah apabila pemimpin-pemimpin Barisan Nasional hidup dalam kemewahan yang tidak setimpal dengan sumber pendapatan mereka, mendadan rambut beribu ringgit, memakai jam tangan dan handbag mewah.

Kekayaan dan kehidupan mewah ahli politik adalah berasal daripada duit rakyat, bukan mereka menabung sejak kecil. Duit 1MDB tidak harus digunakan untuk membeli bangalo di luar negeri, menjelaskan hutang judi di casino seperti yang dinyatakan dalam kertas pertuduhan Department of Justice Amerika Syarikat. Soal integriti adalah suatuyang tidak boleh ditolak ansur.

Harapkan pegar, pegar makan padi. Harapkan Barisan Nasional, Barisan Nasional makan rasuah.

Skandal rasuah yang sering berlaku telah membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional suatu kerajaan kleptocracy. Saya ingin sekali mengambil kesempatan memberi peringkatan dan nasihat baik kepada rakan-rakan kita. Sudah tibanya masa untuk menolak kerajaan kleptocracy ini untuk menjamin nasib kita pada masa depan.

Oleh itu, saya yakin Barisan Nasional tidak dapat menarik sokongan daripada rakyat Malaysia. Sifat tamak dan amalan rasuah mereka adalah sebab paling utama kenapa Barisan Nasional mesti ditolak di Malaysia.

Penangkpan dan pendakwaan pemimpin yang terlibat dalam skandal rasuah, tidak boleh sekadar tangkap ikan bilis, ikan jerung sebaliknya perlu diberikan keutamaan. Saya yakin semua pihak yang terbabit dalam skandal rasuah akan diheretkan ke mahkamah untuk menghadapi keadilan apabila Pakatan Harapan memerintah kerajaan. Pada masa itu, kita boleh mendakwa Malaysian Official 1 di negara kita untuk memulihkan nama baik negara kita.

Sekian, terima kasih.