Skip to content

ADUN dan penduduk Cameron Highlands disiasat kerana protes larangan kenderaan barangan dan sayur

Saya dan tiga orang penduduk tempatan dimaklumkan oleh pihak Polis Daerah Cameron Highlands untuk menghadiri penyiasatan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 mengenai protes tentang larangan pemanduan kenderaan barangan di Cameron Highlands pada 30 Jun.

Kami menyeru semua penduduk dan pekebun agar menghubungi Pejabat ADUN Tanah Rata dengan kadar segera sekiranya mendapat panggilan atau notis daripada pihak Polis. Pihak kami akan menyediakan perkhidmatan guaman dan menghadiri penyiasatan di Balai Polis bersama dengan peguam demi melindungi hak asasi anda.

Kami yakin bahawa menyertai protes dan menunjukkan kain rentang secara aman bersama para penduduk dan pekebun Cameron Highlands untuk membantah larangan pemanduan kenderaan barangan adalah cara untuk mempertahankan hak setiap penduduk dan pekebun. Tindakan ini juga adalah hak asasi, iaitu kebebasan bersuara dan berhimpun yang terjamin di bawah Perlembangaan Persekutuan.

Sejak larangan pemanduan kenderaan barangan dilaksanakan pada 16 Jun, keadaan kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands masih ketara. Pada masa yang sama, larangan ini telah mendatangkan impak besar terhadap rangkaian logistik sayur di Cameron Highlands. Maka, tindakan menunjukkan kain rentang secara aman sebagai tanda bantahan adalah munasabah dan tidak seharusnya disekat oleh mana-mana pihak.