Yang Berhormat Datuk Speaker,
Cadangan Kerajaan untuk Mewujudkan ADUN Lantikan
Kerajaan Negeri Johor bercadang meminda undang-undang dalam Dewan Negeri untuk mewujudkan “Ahli Dewan Negeri lantikan”.
Berdasarkan dokumen persidangan yang diterima oleh ADUN, termasuk warta kerajaan negeri diterbit pada 16 April yang menyiarkan rang undang-undang pindaan perlembagaan negeri, dicadangkan supaya Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 dipinda untuk membolehkan pelantikan tidak melebihi lima orang ADUN.
Jika ADUN lantikan ini tidak perlu menghadapi pengundi dan proses pilihan raya, tidak ada kawasan DUN serta tidak ada pusat khidmat kepada rakyat, bagaimana mereka sanggup menerima elaun yang sama seperti ADUN yang dipilih?
ADUN lantikan dibenarkan mengambil bahagian dalam Dewan dengan mengemukakan soalan, berucap, malah mengundi, walaupun mereka tidak dibenarkan dilantik sebagai Menteri Besar atau Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Memandangkan DUN hanya bersidang kurang daripada 20 hari setahun, berbanding dengan penambahan ADUN lantikan tanpa kawasan, bukankah lebih baik kita tambah hari bersidang supaya lebih banyak isu rakyat dapat dibincang dan diselesai melalui Dewan yang mulia ini?
Adakah kerajaan tidak berpuas hati dengan prestasi ADUN kerajaan sedia ada? Adakah kebajikan pengundi di kawasan pilihan raya tidak dijaga dengan menyeluruh? Atau adakah pengagihan jawatan tidak seimbang?
ADUN lantikan tidak perlu diuji melalui undi rakyat, adakah mereka boleh mewakili rakyat untuk mengundi dalam Dewan? Jika mereka tiada kawasan dan tidak perlu berkhidmat kepada pengundi, adakah mereka menerima peruntukan kawasan? Jika hanya perlu dilantik dan diluluskan dalam Dewan, adakah mereka juga layak menerima pencen?
Rang undang-undang pindaan perlembagaan ini langsung tidak dimaklumkan kepada pihak pengimbang sebagai mekanisme semak dan imbang, dan hal ini amat dikesali.
Sekiranya ADUN lantikan ini adalah demi memberi nilai tambah dengan membawa masuk kepakaran tertentu ke dalam Dewan, ia sebenarnya lebih sesuai direalisasi di cabang Executive sebagai panasihat Kerajaan, dan bukannya di cabang legislative kerana ahli undangan adalah dipilih melalui proses demokrasi. Sudah tentu pengundi akan berasa tidak puas hati kerana hak mereka terjejas, sekali gus mempersoalkan legitimasi dan akauntabiliti. Keadaan ini menimbulkan persoalan para pengundi, kerana pelantikan tanpa melalui proses pengundian adalah tidak selari dengan prinsip demokrasi berperwakilan yang diamalkan di Malaysia dan di Johor.
Jika pelantikan dibuat sepenuhnya dari kalangan kerajaan, maka ada kemungkinan komposisinya boleh menjadi 100 peratus memihak kepada kerajaan. Ini bertentangan dengan prinsip demokrasi berperwakilan.
Maka, Mengkibol ingin mencadang satu penyelesaian, iaitu, sekiranya ADUN lantikan adalah diagihkan mengikut peratusan jumlah undi setiap parti dalam pilihanraya, atau Proportional Representation, seperti yang dilaksanakan di Germany dan Japan, supaya menggalak moderate politics, dan perwakilan yg lebih inclusive, ia akan menjadi satu pindaan yang progressive. Di Jerman, pengundi dapat 2 kertas undi: calon dan parti dan di Jepun menggunakan Parallel System atau Heirit susei.
Pendekatan ini penting supaya:
• mengelakkan pelantikan berat sebelah,
• dan memastikan keputusan rakyat yang diterjemah melalui pilihan raya terus dihormati.
Apa juga bentuk reformasi institusi yang ingin dilaksanakan, ia mestilah memperkukuh — bukan melemahkan —prinsip demokrasi. Mengkibol merasakan yang lebih mendesak untuk dilakukan ialah Enakmen Anti Lompat Parti dan persempadanan semula kawasan DUN yang sudah boleh dimulakan pada bulan Mac tahun ini.