Skip to content

PAS DAN AKMAL SALEH PERLU BENTANG CADANGAN KONSTRUKTIF UNTUK VM2026, JANGAN JADIKAN MALAYSIA SEPERTI LANGKAWI

Saya menggesa pihak PAS dan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh, untuk berhenti sekadar membantah, tetapi mereka mesti membentangkan cadangan yang membina bagi menarik pelancong asing serta merangsang ekonomi tempatan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Mutakhir ini, PAS dan Dr. Akmal begitu gigih membantah penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 di Bukit Bintang. Ketua Pemuda PAS Selangor, Sukri Omar, mendakwa ia tidak mencerminkan identiti Malaysia, manakala Dr. Akmal mempersoalkan mengapa festival itu tidak dibatalkan atas alasan penjimatan kerajaan.

Namun, amat menghairankan apabila kedua-dua pihak yang lantang menolak program tarikan pelancong ini gagal mengemukakan sebarang alternatif yang konstruktif untuk memacu industri pelancongan negara.

Rekod prestasi PAS dalam sektor pelancongan amat membimbangkan. Lihat sahaja situasi di Pulau Langkawi; kegagalan tadbir urus kerajaan negeri telah menyebabkan kemerosotan mendadak jumlah pelancong asing dan domestik. Kita tidak boleh membiarkan imej Kuala Lumpur dan seluruh Malaysia terjejas akibat dasar sempit yang akhirnya merosakkan ekonomi rakyat.

PAS dan Dr. Akmal perlu berpijak di bumi nyata. Majoriti pelancong asing melawat Malaysia untuk berehat, mencari hiburan, dan merasai kemeriahan budaya bandar raya. Mereka datang bukan untuk terikat dengan sekatan moraliti yang melampau.

Sekiranya mereka tidak bersetuju dengan penganjuran konsert jalanan atau festival muzik, maka mereka bertanggungjawab untuk membentangkan program lain yang mampu membawa masuk berjuta-juta pelancong.

Jangan jadikan Malaysia sebuah negara yang “lesu” pelancongannya seperti mana yang berlaku di Langkawi akibat imej dan dasar kerajaan negeri pimpinan PAS.

Fokus kita sekarang sepatutnya adalah pertumbuhan ekonomi dan kejayaan VM2026, bukannya politik yang bantahan yang berasaskan perkauman dan agama yang hanya akan menjauhkan pelabur dan pelancong daripada negara kita.