Skip to content

AMH DESAK LIMA AGENDA UNTUK RAKYAT, REFORMASI DAN MASA DEPAN ANAK MUDA

Angkatan Muda Harapan (AMH) telah bersidang pada 10 Ogos 2026 dan telah mencapai kata sepakat  dalam beberapa isu seperti berikut:  

PERTAMA| MENAIKKAN SEMULA KUOTA BUDI95 KEPADA 300 LITER DAN SELARASKAN SEMULA  BUDI MADANI DIESEL 

AMH mendesak Kerajaan supaya menaikkan semula had kelayakan BUDI95 daripada 200L kepada  300L sebulan, khususnya bagi rakyat yang benar-benar bergantung kepada kenderaan persendirian  sebagai keperluan utama untuk bekerja, berniaga dan mengurus keluarga. Mereka menggunakan  kenderaan untuk pergi bekerja, menghantar anak ke sekolah, bergerak dari kawasan luar bandar ke  bandar, menjalankan perniagaan kecil serta melaksanakan tanggungjawab keluarga setiap hari. 

Dalam masa yang sama, AMH turut mendesak supaya mekanisme BUDI MADANI Diesel diselaraskan  dan dinilai semula agar pelaksanaannya lebih adil, mudah difahami serta benar-benar menepati  kumpulan sasaran. Kerajaan perlu memastikan tidak berlaku keadaan di mana rakyat yang benar benar memerlukan bantuan tercicir hanya kerana kelemahan mekanisme, proses pendaftaran atau  penetapan kelayakan. 

KEDUA| PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG MESTI TEGAS TERHADAP SEMUA SKANDAL DAN  PENYELEWENGAN MELIBATKAN AGENSI / SYARIKAT BERKAITAN KERAJAAN 

AMH menegaskan bahawa rakyat tidak mahu mendengar sekadar kenyataan bahawa sesuatu isu  sedang “diperhatikan” atau “dalam siasatan”. Rakyat mahu melihat tindakan. Sebarang dakwaan  berkaitan skandal, salah guna kuasa, penyelewengan, konflik kepentingan atau kelemahan tadbir urus  yang melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat milik kerajaan atau mana-mana entiti yang  menggunakan wang dan kepentingan awam mesti disiasat secara menyeluruh. Prinsipnya mudah,  Wang rakyat mesti dipertahankan. Tidak kira siapa yang terlibat, siapa yang berada di belakangnya dan apa pun kedudukan politiknya. 

AMH tidak mahu berlaku keadaan di mana slogan reformasi hanya keras terhadap pihak tertentu  tetapi menjadi lunak apabila melibatkan individu atau kelompok yang mempunyai hubungan dengan  kerajaan. Reformasi yang sebenar ialah apabila undang-undang dan penguatkuasaan tidak mengenal  warna politik. Kerajaan juga perlu memperkukuh tadbir urus GLC melalui ketelusan kontrak, perolehan  yang kompetitif, pengisytiharan konflik kepentingan, audit yang berkesan serta mekanisme  pertanggungjawaban yang jelas. 

KETIGA| NILAI SEMULA KERJASAMA DENGAN BARISAN NASIONAL 

AMH berpandangan bahawa perkembangan politik semasa menuntut Pakatan Harapan melakukan  penilaian semula terhadap bentuk, mekanisme dan masa depan kerjasama politik dengan Barisan  Nasional. Kerjasama politik tidak boleh dibina hanya atas perkiraan angka. Ia mesti dibina atas  kepercayaan, rasa hormat dan komitmen terhadap prinsip bersama. Oleh itu, AMH mendesak supaya  PH di semua negeri diberikan ruang untuk menyatakan pandangan dan menilai semula dinamika 

kerjasama politik yang wujud di peringkat negeri masing-masing. Pakatan Harapan tidak boleh dilihat  menjadi “pendinding” kepada Barisan Nasional dalam pelbagai isu lampau yang akhirnya melemah dan memburukkan imej Pakatan Harapan sendiri.  

KEEMPAT| AKTA PERHIMPUNAN AMAN: ERA MADANI MESTI MELAHIRKAN DEMOKRASI YANG  SEBENAR 

AMH berpandangan bahawa antara ukuran paling penting kepada kejayaan Era MADANI ialah sejauh  mana kerajaan mampu memperkukuhkan ruang demokrasi dan kebebasan rakyat untuk menyatakan  pandangan secara aman. Akta Perhimpunan Aman mesti dilihat dalam semangat tersebut. Rakyat  mempunyai hak untuk berhimpun secara aman. Rakyat mempunyai hak untuk mengkritik kerajaan. Rakyat mempunyai hak untuk menyatakan bantahan. Dan rakyat mempunyai hak untuk menuntut  perubahan. Semua ini bukan ancaman kepada demokrasi. 

AMH menyeru Kerajaan MADANI supaya terus memperkukuh reformasi terhadap Akta Perhimpunan  Aman agar undang-undang tersebut benar-benar mencerminkan semangat demokrasi matang. Kita  tidak mahu sebuah negara yang hanya membenarkan rakyat bersuara apabila suara itu selari dengan  kerajaan. Era MADANI mesti menjadi era di mana rakyat tidak takut untuk bersuara dan kerajaan tidak  takut untuk mendengar. 

KELIMA| PENDIDIKAN DAN BELIA: PELAJAR 4.0 STPM DAN MUMTAZ STAM WAJAR DIBERI  KEUTAMAAN PILIHAN UTAMA IPTA 

AMH mahu Kerajaan memberikan perhatian lebih serius kepada masa depan pendidikan dan mobiliti  anak muda. Secara khusus, AMH mencadangkan supaya pelajar STPM yang memperoleh CGPA 4.0  serta pelajar STAM yang memperoleh keputusan Mumtaz diberikan satu bentuk keutamaan dalam  proses pemilihan institusi pengajian tinggi awam. 

AMH mencadangkan agar pelajar yang mencapai tahap kecemerlangan tersebut diberikan peluang  untuk mengemukakan tiga pilihan utama IPTA dan diberikan pertimbangan keutamaan untuk  mendapatkan salah satu daripada pilihan tersebut, tertakluk kepada syarat program, kapasiti tempat  dan keperluan bidang pengajian. AMH juga mahu kecemerlangan dalam aliran pendidikan Islam  diberikan pengiktirafan yang sewajarnya. 

Lima perkara yang dikemukakan AMH ini mempunyai satu persamaan iaitu rakyat mahu melihat  tindakan. Mereka mahu harga dan subsidi yang lebih adil. Mereka mahu wang rakyat dilindungi. Mereka mahu penguatkuasaan yang tidak memilih bulu. Mereka mahu politik yang berasaskan  kepercayaan dan prinsip. AMH percaya bahawa Kerajaan MADANI masih mempunyai ruang yang luas  untuk memperkukuh mandatnya.  

-TAMAT