Lebih 26 kilogram dadah dibawa keluar dari KLIA dan hanya dikesan selepas tiba di Indonesia. Bagasi juruterbang berkenaan dilaporkan telah melepasi saringan keselamatan di KLIA tanpa dikesan. Hari ini sudah 12 hari sejak berita insiden itu dilaporkan. Namun sehingga hari ini, rakaman CCTV ketika juruterbang berkenaan menjalani pemeriksaan dan bagasinya melalui mesin pengimbas di KLIA masih belum didedahkan kepada umum.
Jika semua prosedur telah dipatuhi, dedahkan rakaman itu. Biar rakyat lihat dan nilai sendiri.
Kini di Pontian, penduduk pula mendakwa sisa binaan dari Singapura telah dibawa masuk sejak kira-kira dua tahun lalu, melibatkan sekitar 20 treler hampir setiap malam.
Kalau benar, ini bukan satu atau dua lori yang terlepas. Setiap treler sepatutnya meninggalkan rekod di pintu sempadan Singapura-Johor.
Siapa periksa muatan? Siapa semak dokumen? Siapa benarkan ia masuk?
Malaysia bukan tong sampah negara jiran. Malaysia juga tidak boleh menjadi laluan mudah untuk barang terlarang keluar masuk negara.
Jangan setiap kali kes terbongkar, jawapannya hanya “akan siasat” atau “akan perketat prosedur”. Mesti ada pihak yang bertanggungjawab.
Dalam kedua-dua kes, jika siasatan mendapati pegawai gagal menjalankan tugas atau cuai dalam pengawasan, tindakan tegas mesti diambil. Jangan hanya cari pegawai bawahan. Pegawai penyelia dan ketua yang bertanggungjawab juga mesti menjawab.
Pintu sempadan ialah benteng negara. Jika benteng gagal, mereka yang diberi amanah menjaganya mesti bertanggungjawab.