Skip to content

Langkah berani dan besar Kementerian Pendidikan dalam mengembalikan otonomi kampus

DAPSY mengalu-alukan pengumuman Kementerian Pendidikan bahawa pentadbir universiti tidak akan terlibat dalam pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) mulai tahun ini. DAPSY menyifatkan pengumuman ini sebagai satu langkah berani dan besar dalam mengembalikan otonomi pelajar-pelajar universiti yang telah diperjuangkan oleh aktivis-aktivis pelajar sepanjang masa ini.

Sepanjang masa ini, pilihanraya kampus yang dikendalikan oleh Bahagian Hal-Ehwal Pelajar Univerisiti Awam telah gagal memaparkan satu sistem pilihanraya yang bersih dan adil. Telah menjadi satu fakta yang diketahui umum bahawa Bahagian HEP Universiti Awam adalah lebih memihak kepada pro-aspirasi dan sejurusnya bertindak tidak adil kepada kesemua pelajar-pelajar.

Keputusan Kementerian Pendidikan ini menandakan satu permulaan yang baik dan bagaikan cahaya di sebalik kegelapan. Keluhan bertahun-tahun mahasiswa-mahasiswi telah didengar. Ini juga menunjukkan bahawa Kementerian Pendidikan di bawah pimpinan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengiktiraf kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun mahasiswa-mahasiswi yang mana telah ditindas dalam era yang lampau..

DAPSY berharap bahawa ini akan membuka satu lembaran yang baru yang mana penukaran fikiran dan interaksi antara Kementerian Pendidikan dan aktivis-aktivis pelajar akan bertambah baik dan lebih erat demi untuk mencapai satu pembaharuan dalam sistem pendidikan tinggi di negara ini.

Pembaharuan pilihanraya kampus hanya merupakan salah satu usaha awal untuk mengembalikan otonomi pelajar. Kerajaan sekarang turut perlu memastikan bahawa tidak ada campur tangan politik dalam hal-ehwal kampus. Dalam perkara ini, DAPSY tertarik dengan pengulangan komitment daripada Menteri Pendidikan, Dr Mazlee Malik bahawa Kerajaan Persekutuan akan menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti, dan DAPSY akan memberikan sokongan penuh kepada Kementerian Pendidikan, di dalam dan di luar Parlimen, dalam mencapai hasrat ini.