Tarikh 16 September merupakan hari keramat yang dikenang dan disambut setiap tahun sebagai simbolik kepada penyatuan Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara yang bernama Malaysia. Penyatuan ini sekaligus memperkukuhkan cita-cita dalam meneruskan Malaysia yang demokrasi, aman dan sejahtera. Tahun ini genap 55 tahun pembentukan negara Malaysia.
Sejak Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan 16 September setiap tahun sebagai Hari Malaysia, sebilangan besar rakyat Malaysia hanya mengingatinya sebagai hari cuti dan tidak membawa apa-apa makna. Sebahagian dari kita hanya mengingati tarikh kemerdekaan iaitu 31 Ogos 1957 berbanding dengan tarikh penyatuan Sabah dan Sarawak bersama Persekutuan Tanah Melayu pada 16 September 1963. Mentaliti inilah yang harus diubah dan diterap agar Hari Malaysia dikenang dan disambut dengan penuh penghayatan.
Walaupun terdapat anasir-anasir luar yang ingin memecah-belahkan negara ini, namun atas prinsip dan asas yang kukuh, Malaysia berjaya berdiri utuh, berwibawa dan sebaris dengan negara maju yang lain. Keharmonian dan toleransi rakyat berbilang kaum di negara ini telah menjadi tonggak dan tunjang utama pengukuhan Malaysia. Meskipun terdapat perbezaan pegangan politik, kita semua perlu mengetepikan agenda sempit yang akan merosakkan kesatuan rakyat Malaysia sebagai sebuah negara bangsa.
Sambutan Hari Malaysia tahun ini menjadi lebih bermakna selepas pembentukan Kerajaan Persekutuan yang baru di bawah pentadbiran Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir bin Mohamad. Perpaduan dan kuasa rakyat dalam Pilihan Raya Ke-14 (PRU14) telah menyatukan impian Malaysia untuk menolak pentadbiran kleptokrat yang bermaharajalela selama berpuluh-puluh tahun lamanya dan membentuk Malaysia Baharu.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang tuntas untuk menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan Kerajaan Persekutuan sejajar dengan hasrat dan impian Malaysia Baharu. Kerjasama ini diharap dapat membuahkan hasil dan memberikan pulangan yang terbaik kepada rakyat negeri ini.
Marilah kita mengingati ini sebagai sebahagian daripada sejarah yang bukan hanya sekadar masa silam tetapi sebagai sesuatu peristiwa yang perlu dihayati dan diteladani sebagai pemangkin serta pembangkit semangat dalam pembinaan sebuah negara berbilang bangsa yang kuat dan berjaya.