Skip to content

Annuar Musa terlalu sibuk dengan perbalahan UMNO-Bersatu?

Sehingga hari ini saya dan rakan-rakan Ahli Parlimen pembangkang di Kuala Lumpur masih belum menerima sebarang maklum balas daripada Menteri Wilayah Persekutuan mengenai surat kami bertarikh 7 Disember 2020 yang memohon untuk mengadakan pertemuan dengan kami. Sudah hampir 4 bulan dan sehingga sekarang tiada sebarang tarikh temujanji yang diberikan oleh Menteri kepada kami.

Surat saya kepada Menteri Wilayah Persekutuan bertarikh 16 Februari 2021 bagi memohon mengadakan pertemuan bersama Persatuan Penduduk untuk membincangkan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung pembangunan/perumahan di Taman Rimba Kiara yang juga sehingga kini masih belum berjawab. Keputusan Mahkamah Rayuan telah berpihak kepada penduduk tetapi yang menghairankan ialah apabila DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan di bawah pentadbiran beliau masih terus mengemukakan rayuan kes tersebut ke mahkamah.

Surat kami tidak dijawab, tarikh mesyuarat tidak diberikan dan Parlimen juga tidak bersidang. Apakah cara lain untuk mengutarakan isu kepada Menteri Wilayah Persekutuan? Saya berharap beliau akan segera memberikan tarikh perjumpaan kepada semua Ahli Parlimen pembangkang di Kuala Lumpur dan memanfaatkan kuasa yang diperolehi untuk kebaikan rakyat dan tidak hanya sibuk dengan perbalahan UMNO-Bersatu.