Hari ini Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak akan mengumumkan perubahan kabinet setelah sekadar lebih setahun membentuk kabinetnya pasca PRU ke 13.
Tanpa sebarang hasil kerja yang boleh dibanggakan, malah tanpa sebarang petunjuk prestasi, kabinet kerajaan minoriti Barisan Nasional terpaksa disusun semula selepas hanya satu tahun.
Selepas hanya satu tahun, Malaysia kembali ke petak mula. Apa sebabnya?
Tidak lain, penyusunan semula kabinet ini hanyalah untuk memberi muka kepada MCA dan Gerakan, yang sejak kegagalan untuk kekal relevan pada PRU tahun lalu tidak mendapat sebarang tempat dalam pentadbiran negara.
Apa yang perlu dipertanyakan sekarang ialah ‘apa yang boleh mereka lakukan?’
‘Apa bezanya sebuah kabinet yang ada wakil MCA, dan kabinet yang tiada wakil MCA?’
Saya telah meminta sebelum ini kepada pemimpin-pemimpin MCA yang begitu aktif di media sosial, terutamanya presidennya Dato’ Seri Liow Tiong Lai, supaya memberikan lima janjinya kepada masyarakat Cina, dengan kemasukan MCA ke kabinet. Permintaan ini tidak dijawab.
Minggu lalu saya bertanya lagi, dan kali ini saya kurangkan kepada tiga janji sahaja . Tiga sahaja perkara yang boleh mereka janjikan kepada masyarakat Cina, yang tidak boleh diusahakan sendiri oleh masyarakat Cina, tanpa MCA. Ini pun tidak dijawab. MCA kekal membisu.
Jadi pada hari bersejarah MCA kembali ke kabinet ini, saya minta mereka berikan SATU sahaja janji MCA kepada masyarakat Cina. Satu sahaja hal yang tidak mungkin diperolehi masyarakat Cina tanpa kemasukan MCA ke kabinet.
Saya secara spesifik menyebut ‘masyarakat Cina’ kerana kali terakhir saya periksa, MCA itu maksudnya ‘Malaysian Chinese Association’.
Biar semua orang tahu bahawa MCA, sebuah parti Cina yang ditolak masyarakat Cina dan tidak berfungsi sepanjang satu tahun lalu, akan terus kekal tidak berfungsi dan ditolak masyarakat Cina.