Skip to content

Kebiadapan Ibrahim Ali membuktikan kelemahan pentadbiran Najib

Semakin hari semakin biadap kenyataan yang dibuat oleh Presiden PERKASA. Tetapi, tidak ada apa-apa tindakan diambil oleh kerajaan terhadap beliau. Pentadbiran di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak nyata lemah dan uzur kerana tidak berani mengambil tindakan terhadap Datuk Ibrahim Ali dan kumpulan-kumpulan pelampau yang lain.

Datuk Ibrahim Ali telah mengeluarkan banyak kenyataan-kenyataan berunsur hasutan dan semangat perkauman yang tebal. Beliau sengaja cuba merosakkan keharmonian negara dengan menimbulkan perasaan marah dan kebencian dikalangan rakyat Malaysia.

Walaupun kenyataan-kenyataan beliau boleh merosakkan keselamatan dan kesejahteraan negara tetapi Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Najib Tun Razak masih membisu seolah-olah beliau takut kepada pemimpin-pemimpin PERKASA yang berada di bawah payung naugan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Bin Mohammad.

Dalam isu Bible Bahasa Melayu, Datuk Ibrahim Ali telah menyelar Ketua Menteri Pulau Pinang YAB LimGuan Eng seperti berhasrat untuk memesongkan akidah orang bukan Islam kerana mempertahankan Bible Bahasa Melayu. Beliau mengecam Ketua Menteri Pulau Pinang kononnya YAB Lim Guan Eng tidak ikhlas mempertahankan Bahasa Melayu.

Selain daripada menngecam Ketua Menteri Pulau Pinang, beliau juga telah mencabar dan mengeluarkan kata-kata yang menghasut tanpa menghiraukan sensitiviti kaum bukan Melayu. Datuk Ibrahim Ali mencabar YAB Lim Guan Eng, ‘ Kalau betul mereka mahu Bahasa Melayu saya cabar mereka tutup sekolah ibunda dan semua masuk sekolah kebangsaan’. Ditambah lagi, ‘ Takkan Bible guna bahasa Melayu, sekolah hendak guna bahasa ibunda’

Kenyataan beliau itu menunjukkan kebiadapan yang melampau. Beliau juga membuktikan bahawa kecerdikkannya juga amat cetek kerana tidak dapat membezakan di antara isu Bible dan sekolah vernukular.

Sekolah Vernukular adalah hak di bawah Perlembagaan Persekutuan negara kita. Kaum bukan Melayu berhak untuk menghantar anak-anak mereka mempelajari bahasa ibunda di sekolah cina atau sekolah Tamil. Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan memberikan hak dan jaminan tersebut.

Tambahan pula Akta Pendidikan juga memberikan pengiktirafan kepada pendidkan vernukular yang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Selain daripada itu, faktor sejarah juga memperkukuhkan lagi kewujudan dan kedudukan sekolah-sekolah vernukular di negara kita. Oleh yang demikian, ucapan pemimpin utama badan NGO PERKASA itu adalah bermotif jahat. Beliau menggunakan peluang yang ada untuk mencabar supaya menutup sekolah-sekolah Cina dan Tamil di negara ini.

Jika kerajaan Barisan Nasional dibawah pimpinan YAB Datuk Seri Najib Tun Razak benar-benar ikhlas memperjuangkan gagasan 1Malaysia, tindakan segera perlu diambil terhadap Datuk Ibrahim Ali yang rata-rata mempunyai niat menghuru-harakan negara kita. Jika Perdana Menteri tidak berani untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin PERkASA itu, adalah baik untuk meletak jawatan dengan serta merta sebelum nasi menjadi bubur.