Pada minggu lepas, telah berlangsungnya festival Bon Odori yang dianjurkan di negeri Selangor oleh Kedutaan Besar Jepun, Japanese School Kuala Lumpur dan Kelab Jepun Kuala Lumpur. Seperti mana yang diketahui umum, festival ini sering dianjurkan saban tahun di Malaysia dengan tujuan menyambut kepelbagaian budaya dan perayaan rakyat Jepun serta pertukaran budaya antara dua negara.
Tambahan pula, setelah dua tahun perayaan festival ini direhatkan dek kerana pandemik, sambutan pengunjung untuk festival tersebut pada tahun ini sangat menggalakkan, walaupun terdapat tentangan yang hebat daripada beberapa pihak tertentu. Dalam masa yang sama, sebuah NGO Pengerusi Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menyatakan bahawa mereka mahu menganjurkan Hari Peradaban Melayu pada 30 Julai. Tujuan hari tersebut dianjurkan adalah untuk mengingati dan menaikkan semula budaya orang Melayu yang kian dilupakan, kata Pembela. Menurut pengerusi Pembela, penganjuran program tersebut bukan untuk menandingi festival Bon Odori dan bukanlah sebuah perhimpunan serta beliau menyifatkan ia sebagai sebuah festival seperti festival Jom Heboh.
Soalan yang perlu dijawab Pembela adalah, apakah festival tersebut akan membuka pintu bagi memberikan tempat untuk organisasi-organisasi bukan Melayu untuk turut serta memandangkan sifatnya adalah sama dengan festival terbuka dan inklusif seperti Jom Heboh yang mempamerkan pelbagai jenis aktiviti tanpa mengira bangsa dan agama? Adakah akan ada ucapan daripada mana-mana wakil parti politik? Adakah penganjur akan meletakkan syarat untuk tidak memberikan ucapan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama? Jika jawapan kepada soalan-soalan ini adalah ya, saya tidak mempunyai masalah untuk ikut serta festival Hari Peradaban Melayu yang akan diadakan.
Seterusnya, apakah pandangan Pembela jika kaum-kaum lain di Malaysia yang juga berhasrat untuk melakukan festival dan perayaan kebudayaan mereka secara besar-besaran seperti festival tanglung dan Hari Krismas?
Ingin saya tegaskan di sini, saya tidak mempunyai masalah untuk program-program seperti Hari Peradaban Melayu diadakan, bahkan sangat digalakkan. Dalam masa yang sama, saya juga percaya bangsa-bangsa dan kaum-kaum lain di Malaysia juga boleh melakukan festival yang sama sifatnya. Bagi meraikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu padu, kita perlu sama-sama menyambut dan menghormati perayaan kaum dalam masyarakat yang berbilang bangsa.