Sebelum ini, dilaporkan bahawa 12 acara termasuk 5 acara terjun dikeluarkan daripada SUKMA 2022.
Kerajaan negeri Sarawak telah memohon untuk mengubah keputusan Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dipengerusi oleh Menteri Belia dan Sukan bagi mengembalikan acara terjun untuk dipertandingkan.
Saya menyokong penuh permohonan kerajaan negeri Sarawak tersebut.
Terbaru, ratu terjun negara Pandelela Rinong telah menyatakan kekecewaan beliau terhadap tindakan mengeluarkan acara terjun daripada SUKMA 2022 dan beliau berkata bahawa tindakan tersebut disebabkan “alasan politik”.
Kenyataan ini amat membimbangkan. Adakah keputusan untuk mengeluarkan acara-acara tersebut suatu keputusan politik?
Adakah pihak-pihak tertentu yang berpengaruh tidak inginkan atlet wanita kita menyertai acara terjun di SUKMA?
Atau ada sabotaj terhadap sukan terjun yang merupakan antara prospek pingat emas Olimpik negara?
Amat tidak masuk akal kita kekurangan penyertaan terutama dalam sukan terjun kategori wanita sedangkan negara kita pernah menjadi juara dunia dengan ratu terjun negara Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hong yang pernah memenangi pingat perak dalam Sukan Olimpik, dan atlet-atlet terjun wanita kita seperti Leong Mun Yee dan Nur Dhabitah Sabri turut pernah memenangi pingat dalam Kejohanan Dunia.
Menteri Beliau dan Sukan harus memberikan penjelasan terhadap kenyataan Pandelela Rinong dan tidak boleh memandang ringan terhadap kenyataan seorang atlet kebangsaan yang mempunyai banyak pengalaman dalam sukan beliau.
Saya berharap Menteri KBS akan meluangkan masa memberi perhatian kepada sektor sukan negara yang sudah lama berada dalam keadaan krisis sejak pandemik bermula dan kini menjadi semakin meruncing. Antara kemelut yang dihadapi oleh sektor sukan negara termasuk:
- Industri sukan mengalami kerugian besar dalam tempoh PKP tanpa sebarang bantuan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), contohnya, sektor pengusahaan pusat kecergasan dan gim melaporkan kerugian lebih RM110 juta dalam tempoh setahun sahaja semasa PKP dari Mac 2020.
- Peruntukan sukan dipotong secara drastik dalam Belanjawan 2022, contohnya pengurangan hampir 80% peruntukan untuk penyediaan sukan antarabangsa dalam Belanjawan 2022 berbanding Belanjawan 2018.
- 253 orang atlet negara dihentikan elaun dan pengurangan sehingga 60% elaun bagi sesetengah atlet yang masih berada di bawah kontrak latihan – selepas kritikan keras daripada pembangkang, dan pemegang taruh, KBS mendakwa ada antara atlet-atlet tersebut yang telah dipulihkan elaun mereka.
- Atlet-atlet utama negara mengumumkan persaraan, dan pemain badminton nombor satu negara Lee Zii Jia bertindak keluar BAM.
- Prestasi paling buruk Malaysia dalam 40 tahun di Sukan SEA Hanoi 2021.
Alasan yang sering diberikan seperti Covid-19 tidak dapat diterima langsung kerana ini seolah-olah hanya negara kita yang terkesan dengan pandemik global tersebut. PN dan BN harus mengakui kegagalan kerajaan dalam mengurustadbir negara sehingga semua sektor merosot di Malaysia.