Pengukur inflasi Malaysia, indeks harga pengguna (IHP), meningkat 3.4% pada Jun 2022 berbanding tahun sebelumnya, disumbangkan oleh kenaikan harga makanan sebanyak 6.1%, tidak menggambarkan keadaan sebenar disebabkan penetapan harga kawalan bagi barangan keperluan tertentu. Indeks harga pengeluar Jun yang akan diumumkan kelak, yang meningkat sebanyak 11.2% pada bulan Mei, akan mencerminkan gambaran yang lebih tepat tentang keadaan semasa.
DAP kesal kerana kerajaan enggan mewujudkan Dana Penstabilan Harga RM5 bilion seperti yang dinyatakan dalam jawapan parlimen kepada saya oleh Kementerian Kewangan. Sebaliknya, RM1 bilion disediakan kepada penternak ayam untuk menstabilkan harga ayam dan telur pada harga kawalan, sehingga Ogos 2022. Sungguhpun begitu, kekurangan bekalan masih dijangka akan berlaku kerana ayam dan telur masih dijual di bawah kos.
Ini berikutan peningkatan input pengeluaran makanan global seperti jagung (14.8%), gandum (60.9%) dan kacang soya (19.9%), yang merupakan komposisi terbesar dalam penyediaan bahan makanan ayam telah menyebabkan harga ayam meningkat sebanyak 17.2 %. Harga daging babi juga meningkat sebanyak 14.6% pada bulan Jun berbanding 10.2% pada bulan sebelumnya.
Kerajaan terus menafikan sebarang tanggungjawab dengan menyalahkan kenaikan harga makanan disebabkan peningkatan input pengeluaran makanan akibat perang di Ukraine, kekurangan bekalan, gangguan dalam rantaian bekalan yang disebabkan oleh sekatan pergerakan COVID-19 di China dan kos logistik yang tinggi. Bagaimanapun, tidak disebutkan kesan negatif daripada kejatuhan nilai ringgit dan kekurangan buruh yang teruk dalam meningkatkan kadar inflasi.
Tanpa Dana Penstabilan Harga, pengukuhan ringgit, menyelesaikan kekurangan pekerja yang teruk, dan menamatkan flip-flop dasar kerajaan, kos sara hidup akan terus meningkat. Selain B40, M40 dan PKS akan terjejas teruk kerana tiada bantuan kerajaan ditawarkan.
Kejatuhan ringgit hanya menambah kos import kepada perniagaan manakala kekurangan buruh yang teruk bukan sahaja menjejaskan pertumbuhan ekonomi, dengan perniagaan tidak berani menerima tempahan baharu tetapi juga meningkatkan kos buruh. Berbanding dua rakan dagangan terbesar negara, ringgit telah jatuh ke paras terendah dalam tempoh lima tahun berbanding dolar AS pada hari Selasa kepada RM4.46 manakala berbanding dolar Singapura meningkat sedikit daripada rekod terendah pada RM3.21.
Penurunan nilai ringgit berbanding dua daripada tiga rakan dagangan terbesar negara iaitu AS dan Singapura, hanya akan menyebabkan inflasi meningkat. Petunjuk betapa teruknya keadaan semasa boleh dilihat dengan harga 5kg minyak masak pada RM19 semasa pentadbiran Pakatan Harapan tetapi kini dijual pada harga lebih RM45.
Kerajaan telah cuba membayangkan bahawa walaupun kadar inflasi telah meningkat kepada 3.4% pada bulan Jun, ia masih lebih rendah berbanding dengan 5.6% di Singapura. Perbandingan sedemikian tidak bermakna apabila Pariti Kuasa Membeli (PPP) per kapita Singapura hampir 4 kali ganda lebih tinggi berbanding Malaysia.