Skip to content

Apakah Hadi juga akan “marah” para sarjana Islam terkemuka yang mempertikaikan pelaksanaan hudud?

Saya merujuk laporan berita berkenaan Presiden Pas Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang berkata bahawa Allah mengizinkan kemarahan terhadap DAP atas pendirian parti kami dalam pelaksanaan hudud di Kelantan.[1]

Menurut laporan tersebut, Hadi dilaporkan sebagai berkata: “Kita marah sebab ia satu tanggungjawab Islam. Kita mesti marah. Tak marah, tiada kemanisan iman. Sebagai orang Islam, kita kena marah.”

Daripada bermuzakarah, Hadi lebih sanggup mempercayai Umno

Kenyataan Hadi amat mengecewakan. Sebagai seorang yang bergelar ulamak, beliau patut sedar bahawa daripada “marah” terhadap pihak yang tidak bersehaluan pendapat, tidakkah seseorang mukmin itu seharusnya berusaha untuk memperlihatkan keindahan hukum Tuhan dan menghapuskan segala keraguan terhadap pelaksanaanya?

Malangnya, Hadi tidak memilih jalan muzakarah atau perbahasan rasional. Malah, beliau telah memungkiri janjinya sendiri untuk membawa isu enakmen hudud di Kelantan untuk perbincangan dan pertimbangan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat sebelum ia dihadapkan kepada Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Tambahan pula, beliau juga bertindak secara unilateral tanpa persetujuan Jawatankuasa Pusat partinya sendiri dalam membentangkan Rang Undang-undang pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) semasa sidang Parlimen yang lalu. Jelas, beliau tidak berminat untuk bermuzakarah dengan rakan-rakan seperjuangan.

Sebaliknya, Hadi sanggup menunjukkan sikap optimis terhadap Umno, apabila menyatakan bahawa sokongan Umno dalam pelaksanaan hudud adalah ikhlas dan harus disahut. Saya berasa sangat musykil dengan sikap Hadi ini, memandangkan adalah Umno sendiri yang menggagalkan pelaksanaan hudud di Kelantan dan Terengganu sebelum ini.

Pada masa yang sama, tidak pula kelihatan apa-apa usaha Umno untuk membentangkan undang-undang yang sama di mana-mana negeri yang dikuasai mereka, sementara menteri-menteri Umno sendiri telah mengeluarkan kenyataan yang lantang menolak pelaksanaan hudud di Malaysia. Lalu, apakah asas rasional Hadi dalam mempercayai sikap “lunak” Umno?

Pada hemat saya, Umno jelas tiada niat ikhlas untuk melaksanakan hudud dan minatnya dalam isu ini hanyalah untuk memperlihatkan kehancuran Pakatan Rakyat.

Apakah para sarjana Islam juga akan dimarahi?

Hujah Hadi bahawa orang Islam perlu “marah” terhadap DAP kerana mempertikaikan pelaksanaan hudud di Kelantan juga agak menghairankan. Pertama sekali, ia memberi gambaran salah bahawa Islam adalah agama yang tidak mampu menerima perbezaan pendapat.

Kedua, Hadi seharusnya maklum bahawa masyarakat Muslim secara umum menerima hudud sebagai tuntutan syarak, namun takrifan dan kaedah pelaksanaannya sering menjadi pertikaian. Sarjana besar fiqah pada zaman ini seperti Sheikh Mustafa al-Zarqa, Muhammad Abu Zahra, Mohamad Salim al-Awa dan Sheikh Yusuf al-Qaradawi turut membahaskan keperluan terhadap ijtihad, keutamaan (fiqh al-awlawiyat) dan keadilan sebagai asas maqasid al-syariah dalam pelaksanaan hukum-hukum Islam, termasuk hudud.

Umpamanya, Sheikh Mustafa Zarqa tidak bersetuju dengan hukuman rejam pada zaman ini, sementara cendekia Islam kontemporari Profesor Tariq Ramadan pula mencadangkan moratorium pelaksanaan hudud berikutan keadaan semasa yang tidak sesuai. Mufti Perlis Dato’ Dr Muhammad Asri Zainal Abidin pula mengingatkan bahawa tidak menjadi masalah sekiranya undang-undang hudud di Kelantan dipertikaikan, kerana ia adalah takrifan manusia dan bukan hukum yang disalin daripada al-Quran secara bulat-bulat.

Justeru, apakah Hadi akan “marah” terhadap para sarjana Islam tersebut, memandangkan mereka juga mempersoalkan dan mempertikaikan pelaksanaan hudud?