Saya telah menghadiri Majlis Rumah Terbuka DAP Pulau Pinang di Juru semalam, yang buat pertama kali dalam sejarah, dihadiri oleh pimpinan tertinggi Barisan Nasional negeri Pulau Pinang.
“Pertembungan Besar” dalam pilihan raya umum di enam negeri, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu, akan berlangsung dalam masa kurang dari tiga bulan dari sekarang, dan buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, pilihan raya negeri ini akan mempunyai impak yang besar terhadap politik di peringkat persekutuan, terutamanya untuk menentukan sama ada rakyat Malaysia dan seluruh dunia dapat untuk berharap menyaksikan kestabilan politik dan perpaduan nasional di Malaysia, dan sama ada kerajaan perpaduan Anwar dapat bertahan selama sepenuh penggal lima tahunnya.
Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dengan tepatnya telah menekankan yang semua rakyat Malaysia patut menjadikan perpaduan sebagai aset utama demi masa hadapan negara semasa di majlis pembukaan Minggu Perpaduan Kebangsaan di peringkat kebangsaan di Kuching semalam.
Konvensyen Kerajaan Perpaduan pada hari Ahad lepas telah menghancurkan kemungkinan untuk Kerajaan Perpaduan Anwar ditumbangkan ala Langkah Sheraton dalam sidang Parlimen selama tiga minggu yang bermula hari ini, dan pihak Pembangkang Perikatan Nasional kini hanya mampu untuk merendah-rendahkan kepentingan perpaduan nasional dan menyebarkan khabar angin mengenai kejatuhan Kerajaan Perpaduan Negeri Perak melalui Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria.
Razman mengatakan: “Ia seperti ada yang merancang untuk mencuri, tetapi sama ada terjadi atau tidak, kita tidak tahu.
“Saya tidak tahu rancangan siapakah perkara ini, sama ada benar atau tidak, tetapi sekiranya benar, kita alu-alukan.”
Amat menyedihkan untuk melihat pemimpin PN, terutamanya dari PAS, kini bergantung kepada penipuan, fitnah, dan berita palsu untuk inspirasi dan visi mereka, dan bukannya bergantung kepada dasar dan prinsip.
Namun, mereka hanya mengikuti contoh yang ditunjukkan oleh Presiden PAS, Hadi Awang, yang masih berhutang enam bukti untuk tuduhan-tuduhan yang gagal dibuktikannya, termasuklah tuduhannya dalam enam bulan yang lepas bahawa kononnya DAP mempromosikan Islamofobia, anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, komunis, orang bukan Islam dan bukan Melayu adalah “perompak” yang memberi dan menerima rasuah, dan telah menipu hak orang-orang Melayu dan Islam selama lebih dari setengah abad.
Hadi kini telah muncul dengan tuduhan ketujuh terhadap DAP dan pada masa yang sama dia membuat tuduhan yang tidak masuk akal dalam mengatakan Malaysiakini mempromosikan Islamofobia.
Dalam serangan keji terbarunya, Hadi menuduh kerajaan perpaduan Anwar sebagai “didominasi DAP”.
Saya rasa, jawapan terbaik terhadap serangan keji Hadi ini datang dari bekas pemimpin kanan Bersatu dan Menteri PN yang juga merupakan bekas Menteri Besar Selangor, Azmin Ali, yang bertanya di majlis rumah terbuka hari raya Perikatan Nasional di Shah Alam semalam mengenai mengapa DAP “berdiam diri” mengenai kerjasama bersama UMNO dan BN.
Hadi dan Azmin tidak sebulu dalam perkara mengenai sama ada kerajaan perpaduan Anwar “didominasi DAP” atau tidak.
Pilihan raya umum di enam negeri yang akan datang ini juga menjadi sebab mengapa Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi, membuat kenyataan mengejut yang mengatakan kerajaan negeri Kedah pada hari ini dan sebelum ini telah dikenakan dasar penggunaan tanah oleh kerajaan Persekutuan yang telah menyebabkan kadar kemiskinan yang tinggi apabila Kedah “diarahkan” untuk menanam padi oleh kerajaan Persekutuan, yang merupakan tanaman termurah tetapi pada masa yang sama, amat penting.
Benarkan Kerajaan Persekutuan telah mengarahkan negeri Kedah untuk menanam padi, menyebabkan negeri ini menjadi negeri kedua termiskin selepas Kelantan sejak Merdeka pada tahun 1957?
Tiga Perdana Menteri terawal, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, dan Tun Hussein Onn, tidak lagi bersama dengan kita pada hari ini, tetapi Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang menjadi Perdana Menteri selama lebih dari enam penggal sepanjang lebih dari 24 tahun, dari tahun 1981 – 2002 dan sekali lagi dari Mei 2018 – Februari 2020 mungkin boleh mengatakan sesuatu mengenai tuduhan Menteri Besar Kedah ini.
Bagaimana pula dengan Perdana Menteri kelima, keenam, kelapan, dan kesembilan? Apakah yang boleh dikatakan mereka?
Adakah Perdana Menteri ke-10, Anwar Ibrahim, telah mengeluarkan arahan kepada Kerajaan Negeri Kedah untuk terus menanam padi dan terus menjadi negeri kedua termiskin di Malaysia?
Hadi kini amat rapat dengan Mahathir selepas menandatangani Proklamasi Melayu Mahathir.
Adakah Hadi bersetuju yang Sanusi betul dalam mengatakan Kerajaan Persekutuan telah meminta Kedah untuk menanam padi dan perkara ini adalah salah satu sebab utama kemiskinan dalam kalangan orang Melayu yang mana Mahathir perlu bertanggungjawab?