Daripada hujah angkuh “tidak ingin duduk semeja” kepada membuat tohmahan bahawa kononnya dilarang daripada memasuki kawasan FELDA sehingga dinafikan Presiden parti sendiri, Poster Boy BN Johor menunjukkan bahawa beliau hampir setaraf dengan Ketua Pemuda UMNO merangkap Exco Melaka yang tidak lagi meletakkan jawatan selepas berkata ingin berbuat demikian pada bulan Januari.
Memang betul DAP pernah ada kerjasama politik dengan PAS, tidak kiranya dalam kalangan Barisan Alternatif mahupun Pakatan Rakyat.
Ketika itu, DAP mengumumkan secara terbuka bahawa kerjasama politik akan dijalankan bersama dengan PAS dan tidak pernahnya mencuba untuk menyembunyikan apa-apa, tiada Langkah Sheraton, tiada Langkah Bangkok dan sebagainya.
Benda yang sama pun berlaku ketika DAP menjalankan kerjasama politik dengan UMNO, dengan nyatanya DAP memaklumkan penyokong-penyokong bahawa ini adalah diperlukan ketika penubuhan kerajaan perpaduan.
Namun Onn Hafiz jangan mencuba untuk menyamakan kerjasama DAP tersebut dengan tindakan tipu muslihat yang dilakukan antara UMNO, PAS, WAWASAN mahupun BERSATU.
Pertamanya, kerjasama politik antara UMNO dengan PAS adalah tidak pernah diumumkan secara TERBUKA kepada khalayak ramai sehingga hari ini.
Ini berbeza dengan DAP yang mengumumkannya secara terbuka tanpa menyembunyikannya.
Sebuah parti politik yang bertanggungjawab akan membuat pendirian politik yang rasmi tanpa berlengah-lengah khususnya dalam isu sedemikian, namun mungkin UMNO sendiri pun tak yakin dengan PAS lantaran masing-masing pun ingin “checkmate” satu sama lain.
Keduanya, DAP tidak pernah terlibat dalam apa-apa usaha yang berniat untuk menjatuhkan kerajaan yang sah ditubuhkan melalui kaedah pilihan raya.
Surat Muhyiddin Yassin jelas menunjukkan bahawa UMNO, PAS & BERSATU adalah dalang sebenar yang menatijahkan kerajaan Negeri Sembilan hilang majoriti dan dibubarkan susulannya.
Nasihat kepada Poster Boy, jalankanlah amanah sebaik-baiknya.
Tidak pernahnya ada sesiapa daripada DAP yang mengaitkan ini dengan isu perkauman.
Masalahnya adalah kerjasama politik yang disembunyikan dan tidak diumumkan secara terbuka lantaran ada pimpinan daripada parti kamu sendiri yang sayang sangat dengan jawatan masing-masing dalam kerajaan persekutuan.
Stop being a cry baby.