Saya menyambut baik penjelasan YAB Perdana Menteri di Dewan Rakyat bahawa Pulau Pinang merupakan antara negeri yang menyumbang hasil cukai kepada Kerajaan Persekutuan melebihi jumlah perbelanjaan pembangunan diterima.
Secara tidak langsung, pengiktirafan berkaitan mengesahkan hakikat bahawa Pulau Pinang memainkan peranan yang amat penting sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara dan penyumbang bersih kepada hasil Persekutuan secara keseluruhan.
Malah, kenyataan tersebut turut mengesahkan perkara yang telah saya bangkitkan berkali-kali dalam pelbagai mesyuarat pada peringkat nasional dan juga Dewan Rakyat sebelum ini, bahawa Pulau Pinang wajar menerima pulangan hasil yang lebih adil dan setimpal dengan sumbangannya kepada ekonomi negara.
Apa yang diperjuangkan oleh Kerajaan Negeri bukanlah untuk mendapatkan layanan istimewa, tetapi bagi memastikan pulangan hasil dibuat secara adil, berasaskan sumbangan sebenar negeri kepada pembangunan negara. Sebagai sebuah negeri yang menjadi nadi kepada sektor pembuatan, perdagangan, teknologi dan inovasi negara, Pulau Pinang memerlukan pelaburan berterusan bagi memastikan penyediaan infrastruktur strategik dipertingkatkan sekali gus mengekalkan daya saing Malaysia pada peringkat global.
Umumnya, saya amat menghargai pengiktirafan YAB Perdana Menteri terhadap sumbangan Pulau Pinang, serta komitmen Kerajaan Persekutuan sejak tahun 2023 dalam melulus dan membiayai pelbagai projek infrastruktur utama di negeri ini, termasuk Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Projek Penyuraian Trafik Juru–Sungai Dua (Lebuhraya Bertingkat), projek-projek tebatan banjir serta pelbagai inisiatif pembangunan strategik lain yang akan memperkukuh lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai hab ekonomi negara.
Mengambil kesempatan ini jua, saya ingin merakamkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri kerana mendedahkan angka-angka berkaitan kutipan hasil dan agihan perbelanjaan Persekutuan secara terbuka di Parlimen. Pendekatan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam menjunjung prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik. Apabila sesuatu dasar disandarkan kepada fakta serta data yang telus, ia akan meningkatkan keyakinan rakyat dan membolehkan perancangan pembangunan negara dibuat secara lebih objektif serta berkesan.
Pulau Pinang akan terus memainkan peranannya sebagai salah satu enjin pertumbuhan ekonomi negara. Pada tahun 2025, negeri ini merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM63.96 bilion, merangkumi RM25.10 bilion pelaburan langsung asing (FDI) dan RM38.85 bilion pelaburan langsung domestik (DDI). Selain itu, Pulau Pinang juga terus mengekalkan kedudukannya sebagai negeri pengeksport utama Malaysia, dengan nilai eksport mencecah RM573.91 bilion pada tahun 2025, menyumbang 35.7 peratus eksport negara.
Pencapaian ini membuktikan bahawa setiap pelaburan yang disalurkan kepada Pulau Pinang bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi negeri, malah memberi pulangan besar kepada ekonomi negara melalui peningkatan eksport, peluang pekerjaan berkualiti, pemindahan teknologi dan hasil cukai kepada Kerajaan Persekutuan. Malah, keutamaan kami adalah memastikan Pulau Pinang terus diperkasa sebagai antara hab ekonomi, perindustrian, teknologi serta inovasi paling dinamik dalam negara.
Pada masa sama, saya berharap Kerajaan Persekutuan dapat memberi keutamaan kepada usaha bersama dalam merealisasikan aspirasi Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFC). Penubuhan PIFC akan melengkapkan lagi kekuatan Pulau Pinang sebagai hab pembuatan berteknologi tinggi melalui pembangunan sektor kewangan dan perkhidmatan bernilai tinggi. Inisiatif ini diyakini mampu menarik lebih banyak institusi kewangan antarabangsa, pelaburan berkualiti tinggi serta bakat global, sekali gus memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan dan pelaburan yang kompetitif di rantau Asia.
Kerajaan Negeri akan terus mengamalkan pendekatan yang konstruktif serta memperkukuh kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan demi memastikan Pulau Pinang terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara. Aspirasi kami bukanlah untuk menuntut layanan istimewa, tetapi memastikan agihan serta pulangan hasil pembangunan dibuat secara adil, strategik dan berasaskan sumbangan serta keperluan sebenar.
Saya yakin, melalui kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, Pulau Pinang akan terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab ekonomi bertaraf dunia serta menyumbang dengan lebih signifikan kepada kemakmuran negara secara keseluruhan.
Sekian, terima kasih.