Skip to content

Kementerian Kewangan Digesa Merangkumi BUDI Diesel Dalam Kuota Subsidi 200 Liter Demi Mengambil Kira Realiti Sabah dan Sarawak

Pelaksanaan Program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) telah bermula pada 1 Julai 2026 membolehkan pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter.

Namun demikian, realiti yang dihadapi oleh rakyat Sabah dan Sarawak masih belum diberi pertimbangan yang sewajarnya dalam pelaksanaan dasar ini.

Hakikatnya, penggunaan kenderaan diesel di Sabah dan Sarawak bukanlah soal pilihan, tetapi satu keperluan. Faktor geografi, jaringan jalan raya yang mencabar serta kebergantungan kepada kenderaan pacuan empat roda di kawasan luar bandar dan pedalaman menjadikan penggunaan diesel sebagai sebahagian daripada keperluan harian rakyat.

Atas sebab itu, pelaksanaan BUDI Diesel seharusnya berlandaskan prinsip yang sama seperti pelaksanaan subsidi RON95 melalui BUDI95, iaitu mekanisme yang mudah, jelas dan mesra pengguna. Pengesahan kelayakan melalui MyKad telah membuktikan bahawa subsidi bersasar boleh disampaikan secara lebih cekap tanpa membebankan rakyat dengan langkah-langkah tambahan.

Sehubungan itu, saya ingin menggesa agar Kementerian Kewangan memperluaskan kuota subsidi asas sebanyak 200 liter sebulan kepada setiap pemegang MyKad, tanpa mengira jenis kenderaan yang dimiliki. Dengan kata lain, kuota 200 liter tersebut haruslah merangkumi penggunaan petrol RON95 dan diesel, bukannya dihadkan kepada satu jenis bahan api sahaja.

Bagi pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak di bawah BUDI Diesel, kuota tambahan sebanyak 100 liter sebulan boleh terus dikekalkan seperti yang telah diumumkan oleh Kerajaan.

Pendekatan ini bukan sahaja lebih mudah dan praktikal untuk dilaksanakan, malah dapat mengurangkan kerenah birokrasi, mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna serta memudahkan pelaksanaan di peringkat lapangan tanpa memberikan implikasi fiskal yang ketara kepada Kerajaan.

Dalam masa yang sama, saya menyambut baik keputusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang membatalkan Arahan Melaksanakan Kawalan Penjualan Diesel Ke Atas Kenderaan Pengangkutan Darat bertarikh 27 Mac 2026 berkuat kuasa mulai 1 Julai 2026. Pembatalan had jualan diesel sebanyak 50 liter, 100 liter dan 150 liter merupakan langkah yang tepat selaras dengan pelaksanaan mekanisme baharu pembelian diesel bersubsidi menggunakan MyKad.

Saya turut dimaklumkan bahawa bagi kenderaan diesel persendirian jenis pikap dan jip yang didaftarkan atas nama syarikat, KPDN sedang memuktamadkan mekanisme pelaksanaan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS). Langkah ini merupakan penambahbaikan yang wajar kerana membolehkan kenderaan milik syarikat pam diesel bersubsidi tanpa perlu menukar hak milik kenderaan kepada individu, sekali gus mengurangkan beban pentadbiran dan memudahkan pelaksanaan dasar.

Saya ingin menegaskan bahawa dalam melaksanakan sesuatu dasar nasional, realiti keadaan di Sabah dan Sarawak perlu terus diberi perhatian. Dasar yang baik bukan sekadar mencapai objektif fiskal, tetapi juga mestilah mudah dilaksanakan, mudah difahami dan benar-benar memenuhi keperluan rakyat di lapangan.