Skip to content

TIGA SIRI JUALAN AGRO MADANI DI TIRAM, PALOH DAN YONG PENG CATAT SASARAN JUALAN RM45,000, BANTU 6,000 PENDUDUK JIMAT KOS SARA HIDUP

Tiga siri Program Jualan Agro MADANI (JAM) yang berlangsung di Tiram, Johor Bahru; Paloh, Kluang; dan Yong Peng, Batu Pahat pada Khamis dan Jumaat lalu berjaya mencapai sasaran nilai jualan keseluruhan sebanyak RM45,000, sekali gus dijangka memberi penjimatan berjumlah RM33,000 kepada kira-kira 6,000 penduduk atau isi rumah di kawasan berkenaan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin, telah menyempurnakan ketiga-tiga siri program tersebut dan menyifatkan sambutan yang diterima amat memberangsangkan, sekali gus membuktikan keperluan rakyat terhadap inisiatif yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga lebih mampu milik.

“Melihat orang ramai sanggup beratur dan jualan habis dalam tempoh yang singkat membuktikan Program Jualan Agro MADANI benar-benar memenuhi keperluan rakyat. Inilah pendekatan Kerajaan MADANI yang mahu memastikan bantuan sampai terus kepada rakyat melalui inisiatif yang memberi kesan segera dan nyata,” katanya.

Antara tarikan utama program ialah Jualan Istimewa Kombo MADANI dan Happy Hour Kombo MADANI yang menawarkan satu set mengandungi seekor ayam, 10 biji telur, bawang besar dan kentang pada harga serendah RM5 semasa Happy Hour, manakala set biasa dijual pada harga RM10.

Sambutan di ketiga-tiga lokasi amat menggalakkan dengan sebanyak 200 set dijual di Tiram, 300 set di Yong Peng, dan 400 set di Paloh, semuanya habis dijual dalam tempoh 30-45 minit.

Selain Kombo MADANI, pengunjung turut menikmati pelbagai tawaran istimewa termasuk jualan durian kampung dan buah-buahan tempatan keluaran usahawan Johor, jualan ayam segar dengan diskaun RM2 sekilogram, jualan sayur-sayuran segar oleh usahawan pasar tani serta penyertaan lima usahawan makanan dan industri asas tani (IAT).

Program yang menyasarkan kehadiran 1,500 pengunjung ini bukan sahaja membantu pengguna mendapatkan barangan keperluan pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran tempatan, malah membuka peluang pasaran kepada usahawan tempatan untuk meningkatkan pendapatan melalui jualan terus kepada pengguna.

Datuk Chan berkata, Program Jualan Agro MADANI merupakan antara inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang memberi impak tinggi kepada rakyat dengan mengurangkan kos sara hidup serta memperkukuhkan keterjaminan makanan negara.

Program yang dilaksanakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama agensi di bawah KPKM seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu turut membantu mengurangkan lapisan perantara antara pengeluar dan pengguna, sekali gus memastikan hasil pertanian tempatan dapat dipasarkan dengan lebih cekap.

Sehingga 31 Mei 2026, sebanyak 1,154 Program Jualan Agro MADANI telah dilaksanakan di seluruh negara bagi tahun ini, dengan mencatat nilai jualan RM16.79 juta serta memberi penjimatan kepada isi rumah bernilai RM1.89 juta.

Datuk Chan turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Sekuriti Makanan & Operasi), Encik Faisal Iswardi Ismail, Pengarah FAMA Negeri Johor, Encik Faidz Afizi Mohamed, serta seluruh warga FAMA Johor atas komitmen dan usaha menjayakan ketiga-tiga siri Program Jualan Agro MADANI di Johor.