Skip to content

Bowling Bersama Bapa 2026 Raikan Peranan Bapa Dalam Memperkukuh Institusi Keluarga

Sempena sambutan Hari Bapa, Pejabat YB Preakas Sampunathan, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, telah menganjurkan program Bowling Bersama Bapa 2026: Sukan Santai, Ikatan Mesra di Alam Lanes, Shah Alam, yang menghimpunkan para bapa dan keluarga mereka dalam suasana penuh kemesraan, penghargaan dan semangat kekeluargaan.

Program ini dianjurkan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan golongan bapa yang memainkan peranan penting sebagai tonggak keluarga, pembimbing anak-anak serta sumber kekuatan dalam membentuk sebuah institusi keluarga yang kukuh dan harmoni.

Menurut YB Preakas Sampunathan, Hari Bapa merupakan satu kesempatan untuk mengiktiraf segala pengorbanan dan usaha yang dicurahkan oleh para bapa demi kesejahteraan keluarga.

“Bapa sering menjadi insan yang bekerja keras di belakang tabir demi memastikan keperluan keluarga sentiasa terjaga. Melalui program seperti ini, kita bukan sahaja meraikan mereka, tetapi juga menggalakkan keluarga untuk meluangkan masa berkualiti bersama dalam suasana yang santai dan menyeronokkan,” katanya.

Program ini menyaksikan penyertaan menggalakkan daripada para bapa bersama ahli keluarga masing-masing yang berpeluang mengambil bahagian dalam pertandingan boling persahabatan, selain mengeratkan hubungan kekeluargaan dan silaturahim sesama komuniti.

Bagi memeriahkan pertandingan, para peserta turut berpeluang membawa pulang pelbagai hadiah menarik.

Johan pertandingan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM300, manakala Naib Johan menerima RM200 dan Tempat Ketiga menerima RM150. Selain itu, tiga hadiah sagu hati turut disediakan bagi menghargai penyertaan para peserta. Turut dipertandingkan ialah anugerah khas “Pin Terbanyak” bagi peserta yang mencatat jumlah jatuhan pin tertinggi, serta anugerah santai “Raja Longkang” yang diberikan secara berseloroh kepada peserta yang paling kerap memasukkan bola ke longkang, sekali gus menceriakan suasana pertandingan dan mengundang gelak tawa para hadirin.

Selaras dengan tema “Sukan Santai, Ikatan Mesra”, program ini bertujuan memupuk hubungan yang lebih erat antara ahli keluarga serta mengingatkan masyarakat tentang pentingnya meluangkan masa bersama insan tersayang. Dalam dunia yang semakin sibuk dan mencabar, masa berkualiti bersama keluarga merupakan antara asas penting dalam membina keluarga yang bahagia dan sejahtera.

Pejabat ADUN Kota Kemuning akan terus komited dalam menganjurkan program-program berteraskan komuniti yang mengangkat nilai kekeluargaan, memperkukuh perpaduan masyarakat serta meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.