Kenyataan Jabatan Penjara pada 15 Jun 2026 berhubung tragedi Penjara Taiping amat mengecewakan dan tidak menjawab isu pokok yang dibangkitkan dalam laporan SUHAKAM.
Rakyat sudah mengetahui sejak 19 Disember 2025 bahawa seorang Penjara Taiping, Ryndee O’nel Victor, telah didakwa di Mahkamah Majistret di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tahanan, Gan Chin Eng.
Oleh itu, Jabatan Penjara tidak perlu mengulangi perkara lama itu seolah-olah ia satu pengumuman besar atau bukti ketelusan baharu.
Isu sebenar bukan sekadar seorang pegawai telah didakwa atau 5 kakitangan diambil tindakan tatatertib. Isu sebenar ialah laporan SUHAKAM mendedahkan dakwaan yang jauh lebih serius, termasuk kekerasan fizikal melampau, penyalahgunaan kuasa, kecuaian pegawai atasan, kegagalan rawatan perubatan, unsur penipuan dalam rekod perubatan serta laporan polis yang mengandungi maklumat palsu dan tidak tepat.
Namun kenyataan Jabatan Penjara memilih jalan selamat. Tiada permohonan maaf. Tiada pengakuan jelas terhadap dapatan SUHAKAM. Tiada penjelasan mengenai dakwaan laporan polis palsu. Tiada penjelasan mengenai rekod perubatan yang didakwa mempunyai unsur penipuan. Tiada jawapan mengenai tanggungjawab pegawai atasan. Ini cuma cubaan mengelak daripada menjawab isu sebenar!
Saya menuntut supaya Pengarah Penjara Taiping ketika kejadian digantung serta-merta sementara siasatan lanjut dijalankan. 5 kakitangan yang kini berdepan prosiding tatatertib juga mesti digantung tugas sementara menunggu hasil siasatan polis.
Pegawai yang membuat laporan polis palsu mesti disiasat dan didakwa. Kakitangan yang memanipulasi rekod perubatan mesti dibawa ke muka pengadilan. Pegawai atasan yang cuai atau gagal bertindak tidak boleh berlindung di sebalik jawatan dan pakaian seragam.
Jabatan Penjara juga mesti menjelaskan mengapa kenyataan 15 Jun itu gagal menjawab tuduhan utama SUHAKAM. Kenyataan rasmi kerajaan bukan ruang untuk menyusun ayat selamat atau membersihkan imej jabatan semata-mata.
Seorang tahanan telah mati. Hampir 100 lagi cedera. Dapatan SUHAKAM amat serius dan tidak boleh dijawab dengan kenyataan hambar yang mengulang maklumat lama.