Rakyat seluruh negara kecewa dengan pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam. Hanya orang-orang yang mempunyai kepentingan tertentu seperti kroni-kroni Barisan Nasional memuji-muji Najib Tun Razak selepas pembentangannya. Adakah benar bahawa bajet ini merupakan ibu kepada segala bajet yang pernah dibentangkan dalam sejarah negara kita?
Saya melihat Bajet 2018 sebagai ‘Baget Peluru Kapur’. Ini kerana, bajet yang dibentangkan itu tidak membawa penyelesaian kepada masalah ekonomi negara meskipun keperitan hidup rakyat akibat peningkatan kos sara hidup.
Rata-rata Bajet Peluru Kapur ini hanya merupakan usaha untuk memikat hati golongan tertentu seperti petani, nelayan, peneroka FELDA dan kaum India. Baget 2018 tidak mempunyai roh untuk menangani masalah rakyat secara keseluruhannya. Najib Tun Razak cuba meninggikan suara di Dewan Rakyat pada akhir ucapannya seolah-olah beliau dan kumpulannya bersemangat dan pasti memenangi PRU14. Ini adalah tindakan kebudak-budakan beliau yang nyata menjatuhkan imejnya sebagai seorang Perdana Menteri. Beliau mengambil kesempatan ini untuk berhujah politik. Tetapi, tembakan peluru kapur, bunyi yang kuat didengar, tiada kesan pada sasaran.
Rakyat mengharapkan supaya GST dimansuhkan atau sekurang-kurangnya mengurangkan kadar yang dikenakan. Tetapi, Perdana Menteri dalam ucapan Bajet itu tidak berbuat demikian. Malah dengan angkuhnya beliau berasa bangga dengan tindakan berani kerajaan Barisan Nasional melaksanakan GST.
Golongan penjawat awam juga kecewa kerana mereka menunggu satu pengumuman yang lebih menarik sebagai tanda menghargai jasa mereka kepada rakyat dan negara. Tetapi, harapan mereka terkecai apabila Perdana Menteri hanya mengumumkan satu pemberian khas berjumlah RM1500.
Lebih mengecewakan lagi, Perdana Menteri dalam ucapanya tidak langsung menyebut apa-apa tentang Skandal 1MDB. Perkataan ‘rasuah’ pun tidak disebut sama sekali dalam ucapannya. Adakah ini bermakna kerajaan Barisan Basional tidak serius dalam menangani najis rasuah? Atau Najib berasa malu kerana terlibat dengan skandal kleptokrasi yang besar menjadi ibu kepada segala skandal kewangan di negara ini ?