Skip to content

BAKAJ perlu mengambil tindakan keras untuk mengelakkan pencemaran air mentah berlaku kerap

Gangguan bekalan air yang memberi kesan kepada 160,000 pengguna di Selatan Johor pada hari ini merupakan kejadian yang boleh dielakkan kalau BAKAJ betul-betul mengambil tindakan memelihara kawasan simpanan air kita.

Yang sedihnya, gangguan bekalan air kali ini adalah gangguan kali kedua dalam tempoh masa dua bulan. Pada bulan September yang lalu, operasi loji Semangar terpaksa diperhentikan akibat masalah elektrik. Hari ini, loji yang sama menghadapi masalah pencemaran ammonia air mentah. Akhirnya penduduk Johor merana kerana pengurusan yang tidak cekap.

Memandangkan lebih kurang 500,000 penduduk Johor Bahru dan Kulai yang terkesan, saya mendesak BAKAJ memantau keadaan dan mengambil tindakan serta merta agar masalah ini tidak berulang lagi.

Air adalah sumber yang paling penting bagi kehidupan manusia. Negeri Johor adalah negeri yang tidak pernah menghadapi masalah sumber air. Namun, kita senantiasa terpaksa berdepan catuan air atau gangguan bekalan air disebabkan pengurusan pihak berkuasa yang tidak cekap. Faktor kesilapan manusia boleh dielakkan kalau BAKAJ betul-betul mengambil tindakan dan menerima nasihat pakar termasuk daripada pihak pembangkang yang sentiasa memberikan cadangan terhadap pengurusan air di Johor.

Saya berharap BAKAJ dan SAJ boleh menyelesaikan masalah kali ini secepat mungkin. Rakyat menderita setiap kali berlaku gangguan bekalan air. keadaan ini juga mengakibatkan kerugian besar dari segi ekonomi memandangkan kawasan yang terkesan kali ini merangkumi kawasan industri. Jika kita berhasrat membangunkan Johor Bahru sebagai sebuah metropolitan antarabangsa, masalah utama yang perlu ditangani adalah pengurusan bekalan air bersih yang cekap dan stabil.