Skip to content

BEKALAN BERAS SABAH STABIL DAN MENCUKUPI DAKWAAN MENYOROK STOK BERAS TIDAK BERASAS

Saya memandang serius isu tular berkaitan dakwaan kekurangan stok beras di pasaran sekitar Sabah sejak awal bulan April.

 

Susulan insiden pembelian panik tempoh hari, saya ingin menegaskan bahawa keadaan kini telah kembali stabil. Bekalan beras di pasaran adalah mencukupi, terkawal, dan rantaian pengedaran telah kembali beroperasi seperti biasa tanpa sebarang gangguan.

 

Bagi mendapatkan gambaran sebenar di lapangan, semalam saya telah turun padang ke syarikat pemborong beras Tan Kien Chong (S) Sdn. Bhd. (TKC) serta Pasaraya Bataras di Kolombong. Lawatan ini bertujuan meninjau secara langsung keadaan bekalan beras di peringkat gudang dan premis runcit sekitar Kota Kinabalu.

 

Melalui lawatan ini, saya berpeluang meneliti kedudukan stok semasa, memahami pengurusan rantaian bekalan, serta memastikan bekalan beras sentiasa berada pada tahap yang stabil dan mencukupi bagi memenuhi keperluan rakyat.

 

Saya turut menerima taklimat daripada pihak Kawal Selia Padi dan Beras Sabah berhubung situasi semasa, termasuk aspek pengurusan stok dan pengedaran. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak, termasuk pemain industri, atas kerjasama dan komitmen berterusan dalam memastikan bekalan beras kekal terjamin.

 

Sehubungan itu, saya menyeru seluruh rakyat Sabah agar kekal tenang dan tidak melakukan pembelian secara berlebihan. Dakwaan bahawa terdapat pihak yang menyembunyikan atau menyorok stok beras adalah tidak berasas serta hanya menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

 

Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan terus menyalurkan subsidi sebanyak RM350 bagi setiap tan metrik beras putih import (BPI) ke Sabah seperti biasa. Inisiatif ini memastikan harga runcit BPI purata tidak melebihi RM31  bagi setiap 10 kilogram, sekali gus menafikan dakwaan berlakunya kenaikan harga beras di pasaran.

 

 

Dalam usaha memastikan kestabilan pasaran terus terpelihara, Kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah intervensi secara bersepadu, antaranya:

 

  • Penyaluran berterusan subsidi beras putih import (BPI) bagi menstabilkan harga runcit
  • Pemantauan rapi ke atas keseluruhan rantaian pengedaran
  • Arahan kepada pemborong untuk mempercepatkan pengeluaran stok dari stor Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) bagi memastikan bekalan segera sampai ke pasaran

 

Saya akan terus memantau perkembangan ini dari semasa ke semasa bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara dan keterjaminan makanan negara terus menjadi keutamaan.

 

Orang ramai diseru agar mendapatkan maklumat yang sahih melalui saluran rasmi kerajaan serta tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin yang tidak disahkan. Amalan pembelian secara berhemah amat penting dalam memastikan kestabilan bekalan dapat dikekalkan demi kepentingan bersama.

 

Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Encik Tan Zheng Hong, wakil Tan Kien Chong (S) Sdn. Bhd., atas kerjasama serta kesudian membawa kami meninjau operasi gudang dan berkongsi perkembangan semasa industri bekalan beras.

 

Turut hadir dalam lawatan ini ialah Tuan Rosman bin Shamsul, Timbalan Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Sabah, serta Tuan Abd Alim bin Multazam, Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Sabah.