Skip to content

PROJEK PENYURAIAN TRAFIK PLAZA TOL JURU – SUNGAI DUA, KERJA FIZIKAL PAKEJ 2 DIJANGKA BERMULA

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalu-alukan inisiatif Kerajaan Persekutuan yang komited merealisasikan pelaksanaan Projek Penyuraian Trafik Plaza Tol Juru – Sungai Dua (PTJSD).

Menurut maklumat yang dikongsikan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), PTJSD kini telah memasuki fasa pelaksanaan di tapak menerusi kerja-kerja fizikal bagi Pakej 1 yang bermula sejak Oktober tahun lalu. Pakej ini dijangka siap lebih awal dan beroperasi pada penghujung tahun 2027, selaras dengan tempoh pembinaan selama 24 bulan.

Pelaksanaan PTJSD akan diteruskan secara berfasa melibatkan Pakej 2 sehingga Pakej 5 bagi melengkapkan keseluruhan jajaran dari Plaza Tol Juru ke Sungai Dua. Kesemua pakej ini dijangka memulakan kerja fizikal pada suku ketiga tahun ini tertakluk kepada perincian skop teknikal yang sedang dimuktamadkan. Secara keseluruhan, projek ini disasarkan siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2030.

Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan PTJSD, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil pendekatan proaktif dengan mengadakan rundingan berterusan bersama semua agensi berkaitan serta Pihak Berkuasa Tempatan. Langkah ini penting bagi menangani sebarang isu berbangkit secara menyeluruh sepanjang tempoh pelaksanaan.

Kerajaan Negeri juga akan terus memantau perkembangan projek ini secara rapi serta komited memastikan setiap fasa pelaksanaan berjalan lancar mengikut perancangan. PTJSD diyakini mampu memberi impak signifikan dalam mengurangkan kesesakan trafik, meningkatkan keselesaan pengguna jalan raya, serta merangsang pertumbuhan ekonomi negeri dan memperkukuh daya saing Pulau Pinang sebagai hab pelaburan strategik negara.

Secara keseluruhannya, PTJSD merupakan inisiatif strategik bagi menangani isu kesesakan lalu lintas yang telah sekian lama membelenggu jajaran Lebuhraya Utara–Selatan di negeri ini. Laluan tersebut kini merekodkan purata aliran trafik melebihi 200,000 kenderaan sehari dan berfungsi sebagai koridor utama yang menghubungkan aliran trafik dari utara dan selatan Semenanjung Malaysia. Kesesakan di jajaran ini turut memberi kesan langsung kepada kawasan sekitar seperti Permatang Pauh, Bukit Mertajam dan Perai, sekali gus menjejaskan kelancaran pergerakan harian serta aktiviti ekonomi setempat.

Sejak April 2024, pelbagai kajian termasuk analisis trafik telah dilaksanakan bagi memastikan penyelesaian yang dirangka adalah komprehensif dan mampan. Melalui pelaksanaan Makmal Kajian Nilai (Value Assessment), skop keseluruhan projek kini berada pada peringkat rundingan akhir bagi memastikan kos yang dimuktamadkan adalah optimum serta memenuhi keperluan semua pihak secara menyeluruh.

Sekian, terima kasih.