Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri bertarikh 22 April 2026 (hari ini), memutuskan bahawa pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) tidak akan dilaksanakan buat masa ini. Keputusan tersebut dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap keperluan operasi jabatan, tahap penyampaian perkhidmatan serta situasi semasa yang masih terkawal.
Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memantau perkembangan dan keperluannya dari semasa ke semasa. Sekiranya terdapat perubahan yang memerlukan pendekatan lebih fleksibel, termasuk pelaksanaan semula BDR, langkah sewajarnya akan dipertimbangkan demi memastikan keseimbangan antara kebajikan penjawat awam dan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited untuk memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas, di samping mengambil kira keperluan kebajikan warga kerja sektor awam secara keseluruhan.