Skip to content

Beralih daripada sekatan dan “total lockdown” atau sifar Covid-19 kepada dasar mitigasi baru dan “lockdown” bersasar untuk menyesuaikan diri untuk “hidup di samping Covid-19” sambil meminimumkan kesan buruk ekonomi

Oleh sebab Malaysia mencatatkan lebih 1 juta kes kumulatif COVID-19 hari ini, kita perlu meninggalkan pendekatan lama dan menggunakan pendekatan baharu untuk beralih ke normal baharu yang dapat menyelamatkan nyawa dan mata pencarian, dengan meninggalkan pendekatan yang bergantung penuh kepada sekatan dan “total lockdown” untuk membendung COVID-19 atau misi sifar COVID-19, kepada satu dasar mitigasi baharu dan “lockdown” bersasar untuk menyesuaikan diri untuk hidup di samping COVID-19 sambil meminimumkan kesan buruk ekonomi. Semalam, Malaysia mencatat rekod baru dengan 15,902 kes positif COVID-19 daripada 155,193 sampel ujian, dengan kadar positif 10.25%.

Untuk minggu yang berakhir pada 24 Julai 2021, terdapat purata 12,935 kes positif harian COVID-19 yang dikesan daripada 123,810 sampel ujian, dengan kadar positif purata 10.45%. Ini menunjukkan kemerosotan berterusan daripada minggu sebelumnya yang berakhir pada 17 Julai, dengan purata kes harian 11,237 kes positif daripada 120,165 sampel ujian, dan kadar positif purata 9.35%.

Kadar jangkitan tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan, di samping kadar positif yang masih jauh melangkaui nilai ambang 5% WHO. Lebih membimbangkan, kadar kematian harian juga melonjak pada atau mendekati paras tertinggi, mencapai purata 7-hari 133.9 pada 21 Julai. Disesuaikan dengan populasi, Malaysia kini berada di kedudukan ke-22 dunia dari segi kes kematian harian akibat COVID-19 iaitu pada kadar 4.14 setiap juta orang, jauh melebihi purata G20 dan ASEAN.

Perkara di atas menunjukkan bukti yang tidak dapat disangkal dan jelas bahawa kerajaan telah gagal dalam mengawal penularan wabak ini.

Status suram ini juga mencerminkan kegagalan dan kurangnya keberkesanan pelbagai kaedah “lockdown” yang dilakukan kerajaan. Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 (PKP 1.0) yang dimulakan pada bulan Mac 2020 adalah untuk meningkatkan kapasiti infrastruktur kesihatan awam negara, lanjutan “lockdown” seterusnya dilakukan dengan kepercayaan yang salah bahawa penularan virus ini dapat dihapuskan sepenuhnya hanya dengan melakukan sekatan pergerakan. “Lockdown” berterusan ini telah terbukti tidak berkesan, terutamanya apabila virus telah mencapai tahap kritikal tertentu dalam masyarakat.

Sistem penjagaan kesihatan telah diperluas semaksimum mungkin, dengan kapasiti yang tidak mencukupi sehingga memaksa pesakit COVID-19 dirawat di lantai atau di koridor beberapa hospital.

DAP tidak senang membuat pernyataan ini terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN), kerana akhirnya rakyat yang menderita oleh kemelut ekonomi dan penularan wabak yang semakin teruk.

DAP bersedia memainkan peranan kami dalam kempen “Keseluruhan Masyarakat, Keseluruhan Kerajaan” untuk memastikan rakyat Malaysia berjaya beralih ke ‘normal baharu’ iaitu ‘Hidup di Samping COVID-19’. Negara harus pulih dari pengurusan wabak yang teruk yang telah mengakibatkan jangkitan dan angka kematian yang kita alami hari ini.

Hari ini kami berhasrat untuk mengemukakan kertas posisi dasar kami bertajuk “Mempersiapkan Malaysia Ke Arah Hidup di Samping COVID-19” untuk membawa negara kita ke depan.

Kini sudah jelas bahawa sebarang percubaan untuk menghapuskan virus tersebut sepenuhnya daripada negara ini adalah satu tindakan sia-sia. Virus tersebut dijangka hidup bersama dalam masyarakat dalam jangka masa panjang, terutama dengan kewujudan dan peningkatan dominasi mutasi varian COVID-19.

Selaras dengan perkembangan global, DAP mencadangkan satu anjakan paradigma, beralih daripada sasaran pengurusan pandemik “Sifar COVID-19” dan sekatan penuh (lockdown) kepada “Hidup di samping COVID-19” dan lockdown bersasar. Sebagai contoh, kita perlu melihat situasi 25,000 kes positif COVID-19 tanpa pesakit ICU atau kematian, sebagai satu kesan yang lebih baik berbanding 5,000 kes positif dengan 100 di ICU dan 20 kematian. Apa yang diutamakan bukan semestinya pendekatan yang akan mengurangkan jumlah keseluruhan jangkitan, tetapi pendekatan yang akan mengurangkan secara drastik bilangan kes COVID-19 yang teruk dan kematian.

Normal baharu bukan berkenaan hidup secara berterusan dengan lockdown menerusi pelbagai bentuk perlaksanaannya. Normal baharu adalah bagaimana Malaysia menggunakan pendekatan-pendekatan untuk meminimum dan mengurangkan kehadiran dan kesan COVID-19 dalam kalangan masyarakat dalam masa sama, membuka kebanyakan atau kesemua aktiviti sosial dan ekonomi kita. Dalam pada itu, kita akan membina daya tahan individu dan sektor penjagaan kesihatan kita untuk mengurangkan kematiandan kes-kes yang memerlukan rawatan ICU.

Sehubungan itu, DAP mencadangkan satu strategi komprehensif dalam usaha mitigasi pandemik serta membolehkan “Kehidupan di samping COVID-19”.

  1. Kawal dan kurangkan gelombang jangkitan semasa;
  2. Kesediaan untuk menghadapi wabak pada masa depan;
  3. Membuka sektor sosial dan ekonomi dengan pendekatan yang selamat;
  4. Strategi jangka masa sederhana dalam menguruskan COVID-19.

Sebagai tambahan kepada usaha menangani kebimbangan kesihatan dan ekonomi negara dengan membentangkan satu strategi jalan keluar (exit strategy) yang konkrit berbanding kaedah ‘lockdown’ berterusan, cadangan-cadangan ini juga berperanan sebagai batu asas untuk membuka laluan kepada reformasi struktur jangka panjang, yang Malaysia kini sangat memerlukan.

Lockdown penuh mempunyai kesan buruk kepada ekonomi kita dengan kerugian sejak MCO 1.0 sehingga sekarang dianggarkan sekurang-kurangnya, RM500 bilion. Ekonomi menguncup sebanyak 5.6 peratus tahun lalu dan kerajaan terpaksa menurunkan unjuran pertumbuhan KDNK yang terlalu optimis dari setinggi 7.5% kepada 4%. Kesan ekonomi telah memudaratkan kehidupan banyak keluarga yang memerlukan.

Dalam pengedaran bantuan makanan atau bakul dapur, kami bertemu dengan ramai yang sebelum ini tidak pernah memohon bantuan seumpama itu. Namun permintaan yang selalunya diketengahkan mereka adalah untuk terus mendapat sumber pendapatan sama ada untuk peluang pekerjaan atau dibenarkan semula bekerja dan meneruskan perniagaan mereka. Bagi mereka yang berada dalam kerangka M40 dan perusahaan kecil, mereka cuma mahu ‘waktu rehat’ daripada membayar bil sementara menunggu untuk memperoleh pendapatan mereka, terutama geran kewangan terus dan moratorium pinjaman bank tanpa faedah.

Jika kita merancang secara berhati-hati dan berdasarkan strategi, negara ini akan bangkit dan menjadi lebih baik daripada sebelum ini!

Kertas Posisi Dasar DAP “Hidup Di Samping COVID19”