Skip to content

Berdasarkan sains dan data, tidak logik jika Pulau Pinang tidak beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 5 Julai

Berdasarkan sains dan data, adalah tidak logik bagi Pulau Pinang untuk tidak beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 5 Julai bersama-sama dengan 5 negeri yang telah diumumkan iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis. Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mesti menjelaskan mengapa Pulau Pinang dikecualikan dari Fasa 2 PPN ketika Pulau Pinang menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada nilai ambang yang ditetapkan berbanding dengan Pahang.

Peraturan “lockdown” untuk Fasa 2 adalah sama dengan Fasa 1 tetapi dengan lebih banyak sektor dibenarkan beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 8 malam, kecuali industri makanan. Perlu ditekankan bahawa tidak ada bantahan untuk Pahang dibenarkan beralih kepada Fasa 2 PPN, tetapi isu kontroversi di sini adalah mengapa Pulau Pinang tidak termasuk sekali. Di antara nilai ambang PPN yang ditetapkan adalah purata tujuh hari kes Covid-19, kapasiti ICU dan kadar vaksinasi.

Sebagai contoh, pada 3 Julai Pulau Pinang tidak mencatatkan sebarang kematian berbanding 5 kematian di Pahang, Pulau Pinang mencatatkan 142 kes baharu berbanding 200 kes di Pahang, dan nombor pembiakan asas Covid-19 (R0 atau R-naught) bagi Pulau Pinang adalah 1.02 berbanding 1.24 bagi Pahang. Pada 3 Julai, kadar vaksinasi untuk Pulau Pinang adalah 10.1% berbanding dengan 12.2% penduduk dewasa di Pahang, yang melebihi ambang 10% untuk Tahap 2.

Kerajaan Persekutuan PN harus mengakui bahawa pendekatan berpusat telah gagal menghasilkan hasil yang diinginkan dan harus memberi peluang kepada kerajaan negeri dan Ahli Parlimen untuk menguruskan COVID-19 di kawasan masing-masing. Empat fasa PPN nampaknya mengenepikan negeri dengan kes jangkitan harian yang rendah. Tidak ada alasan untuk negeri-negeri ini dihukum sama seperti negeri lain yang mempunyai jangkitan harian yang lebih tinggi.

Masanya sudah tiba untuk desentralisasi dengan membenarkan kerajaan negeri dan Ahli Parlimen untuk memutuskan apa pendekatan terbaik mengenai sekatan PKP atau waktu operasi perniagaan di kawasan masing-masing. Ini juga akan mendorong akauntabiliti dan ketelusan berbanding formula satu ukuran sesuai untuk semua yang menghukum tingkah laku baik dan buruk secara pukul rata. Marilah kita memberi ganjaran kepada mereka yang mematuhi SOP COVID-19.