Setelah Kementerian Dalam Negeri mengumumkan bahawa Program Rehiring atau Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) akan tamat pada 30 Jun manakala gerak gempur operasi penguatkuasaan bagi memburu Pati akan bermula pada 1 Julai, saya telah menjemput seorang pakar sebagai panel bagi dua seminar yang diadakan di Kampung Raja dan Bertam Valley.
Kedua-dua seminar itu mendapat sambutan yang hangat daripada para penduduk. Sambutan hangat ini juga sebenarnya menyatakan secara tidak langsung bahawa polisi tentang pekerja asing membimbangkan pengusaha ladang sayuran.
Polisi tanah pertanian di Cameron Highlands adalah berbeza dengan polisi-polisi kawasan pertanian lain di negara kita. Isu ini telah lama menyusahkan para petani, termasuk aspek mengupah pekerja asing.
99% daripada tanah pertanian Cameron Highlands adalah di bawah Lesen Pendudukan Sementara (LPS). Mengikut Kanun Tanah Negara, LPS mempunyai pelbagai jenis sekatan seperti pembaharuan lesen setiap tahun dan pembinaan bangunan tetap seperti asrama pekerja dilarang. Oleh itu, kebanyakan polisi tidak mengiktiraf TOL sebagai tanah pertanian yang sah.
Jika ambil polisi tentang pekerja asing sebagai contoh, polisi ini memerlukan pengusaha pertanian untuk memiliki geran tanah dan permit membina asrama. Walau bagaimanapun, pemegang TOL tidak memiliki kelayakan seperti geran tanah maka tidak boleh membina asrama pekerja dan memohon permit. Sekiranya peraturan diikuti dengan tegas, semua petani sayur tidak mungkin dapat mengupah pekerja asing.
Negara ini sememangnya tidak patut terlalu bergantung kepada pekerja asing terutamanya dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan perindustrian, tetapi perlulah berdepan dengan realiti bahawa bukan semua sektor berupaya menarik minat pekerja tempatan. Antara contoh yang paling klasik sekali ialah sektor pertanian dan perladangan. Kebanyakan pekerjaan dalam sektor-sektor tersebut bukan sahaja ialah kerja 3D (‘dangerous’, ‘difficult’ dan ‘dirty’), malahan sifat pekerjaan yang membosankan menyebabkan pekerja tempatan tidak berminat langsung walaupun gaji lumayan diberi.
Hakikatnya, kos yang dibiayai oleh petani sayur dalam perkara pekerja asing telah jauh melebihi kos mengupah pekerja tempatan. Sekiranya diberi pilihan, mereka semestinya tidak akan mengupah pekerja asing dan melalui proses yang rumit dan bermasalah banyak. Maka, kerajaan harus bertindak fleksibel dan mengendalikan polisi pekerja asing berdasarkan sektor yang berbeza terutamanya pertanian di Cameron Highlands.
Hutang Malaysia mencecah RM1 Trillion disebabkan oleh kleptokrasi kerajaan lama. Sekiranya pihak kerajaan mampu memudahkan prosedur penggajian semula Pati, negara kita dapat menjana pendapatan sebanyak billion ringgit yang akan membantu negara menyelesaikan hutang dan seterusnya mencapai situasi ‘win-win’ kepada negara dan pengusaha.
Perlu ditegaskan bahawa memudahkan polisi penggajian semua pekerja asing bukan bermaksud bebas mengupah pekerja asing. Kita perlu sedar bahawa tidak kira polisi penggajian semula wujud atau tidak, sektor-sektor tertentu di negara kita memang memerlukan pekerja asing dalam jangka masa pendek ini. Sebaliknya, pihak berkuasa harusnya meningkatkan penguatkuasaan termasuk mengambil tindakan terhadap pekerja asing yang berniaga dan juga terhadap syarikat “orang tengah” dan pengusaha yang tidak mematuhi undang-undang bagi membawa masuk pekerja asing.