Setelah selesai proses pelantikan yang penuh cabaran, saya dengan gembiranya dapat menggelar sahabat lama serta rakan sejawat saya Saudara Shazni Munir sebagai Ketua Pemuda Pakatan Harapan Kebangsaan.
Saya yakin, dengan sokongan padu daripada saya serta DAPSY dan Saudara Akmal selaku Ketua AMK serta anggotanya, pastinya Pemuda Harapan di bawah pimpinan Saudara Shazni dan Pemuda AMANAH akan berjaya menjadi penggembleng kesemua pihak dalam landskap politik tanah air yang ingin kembalikan Rakyat dan negara ke landasan yang progresif, aman, makmur ke arah kecemerlangan dengan menewaskan mereka yang memegang tampuk kuasa.
Saya berharap konsensus dan kesepakatan yang telah dicapai akan dihormati semua pihak, agar kita dapat saling berganding bahu untuk terus bergerak maju menuju persiapan PRU15. Kita harus dan akan sentiasa ingat, perjuangan ini adalah demi negara, untuk semua Rakyat Malaysia.
DAPSY percaya bahawa kesepakatan dan kesedaran orang muda untuk membawa arus pemikiran politik yang lebih segar, menjauhi gaya politik tua yang lapuk adalah jalan yang tepat ke arah usaha meneraju perubahan generasi dalam lanskap politik Malaysia di persimpangan yang getir ini. Ini amat perlu demi mengembalikan maruah negara dan memulihkan ekonomi rakyat jelata.
Kepada saudara-saudari anggota Pemuda Harapan, izinkan saya menyampaikan sedikit saranan. Di saat pihak lawan sedang bercakaran, kita sepatutnya berusaha untuk membentuk kesepakatan dan kesatuan, baik dari segi pemikiran dan cara kerja; agar musuh yang telah mengkhianati kita dapat ditumbangkan.
Jalan ke hadapan tidak boleh diracuni musuh dalam selimut yang akan mengkhianati dari dalam segala usaha kawan-kawan selama ini. Saya menyeru seluruh sayap pemuda parti-parti komponen Pakatan Harapan supaya mempersiapkan diri dan organisasi, menjauhi intrig politik yang melelahkan, dan bergerak maju ke hadapan bersama-sama dalam satu pasukan. Hati-hati dengan jolokan musuh; jangan mudah melenting, nanti terpelanting.
Saya harap segala masalah yang timbul sebelum ini dapat dijadikan teladan agar kita sentiasa berada di landasan yang sama. Biarlah apa yang teleh diselesaikan benar-benar selesai. Jika rumah sudah siap, pahat tak perlu berbunyi lagi.
Kita tidak ada masa untuk melayan pengkhianatan demi pengkhianatan. Jangan kerana jawatan dan kuasa, kita jadi buta. Jawatan bukanlah untuk dibangga-banggakan, sebaliknya ia merupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu digalas bersama.
Bersama-samalah kita memimpin demi amanah, kerana keadilan, untuk demokrasi. HARAPAN kita adalah kerajaan bersih, negara makmur, rakyat senang.