Skip to content

Kenyataan Persatuan Hospital Swasta Malaysia harus dikutuk dan ditegur sekeras-kerasnya

“Keterlaluan!” Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) baru-baru ini memohon kepada pihak kerajaan untuk meluluskan pembelian vaksin COVID 19 yang diuruskan oleh pihak hospital swasta. Hal ini bagi membolehkan mereka untuk menjalankan program vaksinasi persendirian untuk pelanggan daripada golongan korporat dan memberikan khalayak awam hak untuk memilih jenis vaksin yang mereka inginkan. Pernyataan ini dianggap sebagai penghinaan secara terang-terangan yang mengaibkan warganegara Malaysia dan layak untuk dikutuk dan ditegur sekeras-kerasnya.

Mengabaikan situasi kekurangan bekalan vaksin di seluruh dunia, persatuan ini tanpa segan silu menyatakan hasrat mereka berkenaan “rancangan vaksinasi dipercepat” sebagai alasan untuk membantu pelanggan daripada golongan korporat, hartawan dan istimewa untuk “memotong barisan” yang sudah terang lagi bersuluh mencemarkan serta merosakkan program pemberian vaksin negara pada waktu ini. Mereka juga secara tidak langsung telah merosakkan prinsip asas kesaksamaan yang telah dipupuk oleh masyarakat di Malaysia.

Tindakan seperti ini juga boleh menyebabkan terjadinya antagonisme sosial antara golongan kaya dan golongan daif, sekaligus mencemarkan perpaduan nasional di Malaysia.

Sekiranya persatuan ini benar-benar menginginkan rancangan pemberian vaksinasi ini dipercepat, mereka hendaklah membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk melaksanakan program vaksinasi tahap pertama dan tahap kedua untuk golongan berisiko tinggi; mereka juga hendaklah menyumbang kepada program saringan COVID 19 untuk golongan berisiko tinggi ini. Persatuan ini juga seharusnya turut serta untuk turun padang, dan bukannya goyang kaki melihat program vaksinasi dilaksanakan oleh pihak berwajib, terutamanya ketika negara sedang berhadapan dengan situasi yang penuh berisiko sedangkan mereka hanya berminat untuk memenuhi kehendak diri mereka sendiri sahaja.

Sekiranya persatuan ini tidak boleh bersabar dan masih berdegil untuk mempraktikkan perkhidmatan pelanggan mereka untuk program vaksinasi fasa ketiga, maka mereka seharusnya menjadikan klinik-klinik mereka sebagai tapak vaksinasi untuk pihak berwajib melaksanakan program pemberian vaksinasi kepada golongan yang berisiko tinggi dalam fasa pertama dan fasa kedua.

Walau bagaimanapun, saya ingin memuji sebilangan hospital swasta yang tampil ke hadapan untuk memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka, seperti Hospital Pakar KPJ di Kluang yang telah membantu pejabat dewan undangan negeri menyediakan pemeriksaan COVID 19 secara percuma untuk pasukan barisan hadapan di Kluang; Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) sepatutnya mengikut jejak langkah hospital ini.