Pada 14 Ogos 2015, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Paul Low Seng Kuan telah berkata dalam satu wawancara bahawa undang-undang pembiayaan politik yang boleh menghalang pembiayaan dari luar negara dan mewajibkan pengisytiharan awam penyumbang dana telah sedia untuk dibentangkan di parlimen dalam tempoh setahun, iaitu tahun 2016 (http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/political-funding-law-to-be-tabled-next-year-minister-says#GoHGO5vywUrx92mx.97).
Kelmarin, Menteri yang dilantik tanpa memenangi pilihanraya itu berkata pula bahawa Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik (PDEA) yang dicadangkan tidak akan dibentangkan kepada parlimen sebelum Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14). Katanya kelambatan itu adalah kerana jawatankuasa teknikal mengenai PDEA sedang dalam proses menggubal akta baharu itu.
Bekas presiden Transparency International-Malaysia itu juga pernah berkata “I am not a politician, I will do what I promised”. Namun hakikatnya, beliau tidak jauh beza malah sama teruk jika dibanding dengan Menteri Barisan Nasional (BN).
Rakyat berhak tahu apakah pencapaian dan sumbangan beliau, jika ada, sejak dilantik menganggotai Kabinet Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2013 sehingga kini. Tidak ada rasa malukah pada ‘Menteri Integriti’ ini sekiranya beliau tidak boleh meyakinkan orang ramai bahawa pelantikannya memberi manfaat kepada rakyat?
Mungkin satu-satunya pencapaian sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai Menteri ialah jawapan sepanjang satu perenggan di parlimen tentang bagaimana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapkan siasatan ke atas SRC International Sdn Bhd, tanpa sebarang huraian lanjut. Sedangkan SRC International adalah bekas anak syarikat 1MDB yang didakwa telah memindahkan dana berjumlah RM42 juta ke dalam akaun peribadi bosnya, Najib Razak.
Low juga berkata kelmarin, bahawa rang undang-undang PDEA itu tidak akan sempat dibentangkan sebelum PRU14, tetapi hanya sempat menjelang PRU15. Kita tertanya-tanya adakah Najib telah memberitahu Low bilakah tarikh PRU ke-14. Jika tidak, bagaimanakah Low begitu yakin sekali bahawa PDEA tidak akan sempat dilaksana menjelang PRU14?
Atau adakah kerana Low begitu teringin mahu bertanding sebagai calon langsung BN pada PRU14, serta meramalkan Najib akan kekal menjadi Perdana Menteri selepas PRU14, dan Low akan masih menjadi Menteri bagi menyempurnakan penggubalan PDEA?