Skip to content

Bina hospital baru, bukan landasan keretapi

Keperluan mendesak untuk membina hospital-hospital baru di Malaysia telah tertonjol dengan tragedi kebakaran baru-baru ini di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru yang telah meragut 6 nyawa. Ini diikuti kebakaran yang berlaku akibat litar pintas di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh. Malah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pun telah bertitah bahawa Hospital Sultanah Aminah bukanlah kilang sardin dan kerajaan mesti membina sebuah hospital baharu yang lebih baik untuk memberikan perkhidmatan yang sempurna kepada rakyat.

Malangnya, dan turut mengejutkan, kerajaan kehabisan dana untuk membina hospital-hospital baru. Peruntukan untuk membina hospital baru pada tahun 2017 adalah hanya RM177,200,000 sahaja; satu penurunan daripada RM273,059,500 pada 2016 (muka surat 488, Butiran Projek 00400 Hospital Baru). Ini merupakan satu potongan amat besar sebanyak 35%, iaitu berjumlah RM95,859,500.

Sebagai bandingan, pada tahun 2003 perbelanjaan untuk membina hospital-hospital baru adalah sebanyak RM1,704,664,978. 2003 juga merupakan tahun persaraan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri. Pada masa itulah kemuncak perbelanjaan kerajaan untuk membina hospital-hospital baru. Jika dibandingkan dengan tahun 2003, Perdana Menteri Najib telah mengurangkan dana untuk pembinaan hospital baru sebanyak 90% untuk tahun hadapan.

Dalam tempoh masa yang sama, bajet Kementerian Kesihatan telah meningkat sebanyak 328% dari RM7,556,006,400 pada tahun 2003 ke RM24,800,986,200 pada tahun 2017. Namun, peruntukan untuk pembinaan hospital baru telah turun sehingga hanya 0.71% daripada jumlah bajet Kementerian Kesihatan.

Era Tun Dr Mahathir adalah zaman kegemilangan pembinaan hospital baru. IJN telah memulakan perkhidmatannya pada tahun 1992. Seterusnya Hospital Selayang (1999), Hospital Putrajaya (2000), Hospital Serdang (2006), Hospital Ampang (2006) dan Hospital Sungai Buloh (2006) telah mula beroperasi. Pembinaan Hospital Shah Alam telah dimulakan pada tahun 2007 tetapi hanya siap pada Oktober 2015.

Namun begitu, Malaysia masih berdepan masalah kekurangan katil hospital dengan purata hanya 1.9 katil per 1000 penduduk (kedudukan yang ke 119 daripada 190 negara). Nisbah untuk Singapura adalah 2.9 (kedudukan 94), United Kingdom 4.2 (61), Indonesia 6 (36), Jerman 8.9 (8) dan Jepun 14.3 katil/1000 penduduk (4). Bagi negara-negara berpendapatan tinggi OECD (Organization for Economic Co-operation and Development) nisbahnya adalah 6.13. Kita perlu membina sekurang-kurangnya 25 lagi hospital bersaiz seperti Hospital Sultanah Aminah dengan kemampuan 1,200 katilnya untuk setanding dengan Singapura. Kita benar-benar memerlukan penambahan 100 buah hospital baru untuk mencapai nisbah katil per 1000 penduduk bersamaan dengan negara berpendapatan tinggi.

Kerajaan tidak boleh berdalih lagi dengan mengatakan tidak mempunyai dana yang mencukupi. Dana pembinaan hospital baru adalah satu jumlah yang kecil berbanding dengan RM55 bilion yang akan dibelanja untuk projek Landasan Keretapi Pantai Timur(East Coast Rail Link), ECRL, sepanjang 600 kilometer atau bersamaan dengan RM91.7 juta untuk setiap kilometer. Peruntukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib untuk pembinaan hospital baru tahun hadapan tidak cukup untuk membina walau 2 km landasan ECRL ini.

Saya ingin bertanya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib, mengapa beliau memilih membina ECRL yang kosnya tidak munasabah, tetapi tidak pula mahu membina hospital penyelamat nyawa? Adakah pembinaan ECRL ini lebih penting daripada kesihatan rakyat? Hospital di seluruh negara sudah begitu lama begitu sesak dan daif sehingga mengancam keselamatan orang ramai dan kakitangan hospital. Kepadatan pesakit yang keterlaluan dan kesesakan pesakit yang perlu beratur panjang setiap hari jauh lebih teruk daripada keseakan lalulintas di jalan-jalan ke pantai timur. Kita harus ingat bahawa kakitangan awam, termasuk guru, polis, anggota Angkatan Tentera Malaysia dan pesara kebanyakannya bergantung kepada hospital kerajaan untuk menjaga kesihatan diri dan keluarga mereka.

Jelas sekali Perdana Menteri Datuk Seri Najib tidak mengambil berat isu tidak cukup katil di hospital berikutan peningkatan mendadak bilangan pesakit ini. Perdana Menteri sudah hilang sentuhan mendahulukan rakyat dan penetapan keutamaan beliau jelas tersasar. Jika Pakatan Harapan membentuk kerajaan selepas PRU 14 nanti, saya cadangkan kita membatalkan projek ECRL dan sebaliknya membina 25 buah hospital baru bersaiz sama dengan Hospital Sultanah Aminah untuk kepentingan semua rakyat. RM 2 bilion setahun untuk 10 tahun akan memberikan kita 30,000 katil hospital.